Selebriti

Ezly fobia lihat rakan ditipu

EZLY ada pakej lengkap sebagai penyanyi dan pemuzik.
- Diterbit 6 September 2019 5:49 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI

INDUSTRI muzik tanah air tidak pernah sunyi daripada kemunculan bakat-bakat baharu yang mewarnai dunia hiburan. Lambakan penyanyi-penyanyi muda ini secara tidak langsung menjadikan industri ini penuh dengan persaingan.

Dalam kemeriahan tersebut, hanya segelintir yang dilihat mampu pergi jauh ke hadapan. Pendek kata, hanya yang punya pakej lengkap sahaja terus bertahan untuk tempoh masa yang lama dalam dunia hiburan hari ini.

Bersetuju dengan perkara tersebut, penyanyi baharu, Ezly Syazwan Shah Mohd Joeelleyno, 20, atau lebih mesra dengan panggilan Ezly mengakui penglibatannya dalam seni semata-mata untuk mempersembahkan bakat yang dimilikinya.

Bersyukur mendapat saluran yang betul, artis yang bernaung di bawah Map Music ini berasa fobia apabila melihat rakan sekuliahnya yang berhasrat untuk bergelar penyanyi akhirnya ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Dia bukan sahaja tidak berpeluang menjadi penyanyi bahkan wang ringgit miliknya turut melayang. Pengalaman rakan tersebut membuatkan saya lebih berhati-hati untuk memilih syarikat rakaman.

“Sewaktu menerima tawaran untuk menjadi artis pada awal tahun
ini, saya ambil masa untuk selidik terlebih dahulu. Bukan apa zaman sekarang kita tidak boleh terlalu mempercayai sesuatu perkara secara melulu tanpa usul periksa,” ujar pelajar jurusan Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini kepada Wilayahku.

Mempertaruhkan single terbaharu ciptaannya berjudul Kau Bukan Dia, penyanyi berwajah ‘jambu’ ini percaya kehadirannya dalam industri muzik bukan kosong semata kerana selain menyanyi dia juga boleh bermain alat muzik seperti gitar, piano dan French Horn.

“Pengalaman dan bakat yang dimiliki mendorong saya untuk terus ber
karya dalam industri muzik. Saya turut berharap kehadiran ini diterima ramai dan peminat sentiasa menyokong perjalanan yang masih panjang,” ujarnya.

Menyentuh tentang lirik single terbaharunya itu, ia mengisahkan tentang rintihan seorang lelaki apabila cintanya disia-siakan oleh kekasihnya. Segala pengorbanan dan cinta yang diberikan tidak dihargai malah ditinggalkan wanita kesayangannya.

Merencanakan perjalanan seninya dengan penuh teliti, penyanyi yang pernah menyertai program realiti televisyen TV9 (Pop Krew) ini memilih lagu berentak balada untuk single pertamanya kerana menurutnya pasaran muzik hari ini lebih menjurus ke arah lagulagu berentak sedemikian.

“Sungguhpun lagu-lagu berentak balada sudah dimainkan sejak awal 80-an namun tidak keterlaluan andai saya katakan muzik kita sekarang lebih ke arah lagu-lagu berunsur sedih dan mendayu-dayu,” ujarnya yang sedang sibuk dengan pembikinan muzik video.

Berduet dengan Ernie Zakri

Menanam impian untuk berduet bersama penyanyi popular Ernie Zakri, Ezly mengakui dia kagum dengan kelantangan vokal yang dimiliki Ernie. Malah berharap agar impiannya bakal menjadi kenyataan.

“Suaranya yang lunak juga menarik perhatian saya ketika pertama kali mendengar lagu nyanyiannya di corong radio. Malah saya juga kagum dengan dirinya yang bermula dari bawah sebelum berada di tahap seperti hari ini,” ujarnya.

Kerap muncul di televisyen, penyanyi kelahiran Johor ini pernah membintangi iklan Dumex Dugro pada tahun 2012 dan membintangi telemovie Pi Sana Pi Sini P. Ramlee pada tahun 2015 dengan memegang watak sebagai Boboy.

“Penglibatan dalam lakonan hanya suka-suka sahaja sekadar untuk menimba pengalaman. Pun begitu saya lebih meminati bidang nyanyian kerana ia merupakan minat dan keutamaan saya,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas