Berita

Memori terindah Nur Izzati

NUR IZZATI
- Diterbit 5 September 2019 8:55 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PELUANG untuk menyertai perbarisan sempena Hari Kemerdekaan ke 62 yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini menjadi satu memori indah buat Nur Izzati Mohd. Amir, 16.

Pelajar tingkat empat Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) itu menceritakan, pada mula­nya ada pelajar yang diarahkan oleh guru datang kelas ke kelas untuk memanggil pelajar yang telah dipilih untuk menyertai perbarisan tersebut.

“Asalnya nama saya tidak berada dalam senarai kerana beberapa nama pelajar lain telah dipilih terlebih dahulu.

“Namun kerana minat dan semangat yang berkobar-kobar untuk turut serta, saya cuba sedaya-upaya bertanya sekiranya ada kekosongan kerana saya juga mahu turut serta.

“Rezeki telah berpihak kepada saya, maka saya turut terpilih untuk menyertai perbarisan pada hari kemerdekaan baru-baru ini,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Nur Izzati, setelah terpilih, para pelajar dikehendaki menjalani tempoh latihan selama dua minggu sahaja menjelang 31 Ogos.

“Semasa menjalani latihan, kami telah diarahkan untuk berada di sekolah seawal 6.15 pagi dan memulakan latihan acara perbarisan dalam pukul 8 pagi sehingga 11 pagi.

“Kami menjalani latihan kawad dan perbarisan selama dua hari di sekolah dan empat hari lagi di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya dan selebihnya di Dataran Putrajaya,” katanya.

Tambah Nur Izzati lagi, meskipun sesi latihan kawad dan perbarisan itu sungguh memenatkan, dia kuatkan semangat untuk mempersembahkan yang terbaik pada hari bersejarah tersebut.

Kata Nur Izzati lagi, antara pengalaman manis yang tidak akan lupakan ialah pasangan kembarnya, Nur Izzah turut menjadi peserta di dalam perbarisan tersebut.

“Kami merupakan peserta dalam kontingen pertubuhan bukan badan kerajaan. Kami telah menunjukkan kerjasama yang baik dan mendapat pujian daripada para peserta lain,’’ katanya yang menganggotai pasukan beruniform Pandu Puteri.

Kata Nur Izzati lagi, debaran memuncak apabila tiba pada hari yang bersejarah itu walaupun persiapan telah dilakukan selama dua minggu.

Nur Izzati yang memasang impian untuk menjadi doktor gigi pada suatu hari nanti, berkata, pengalaman menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan tersebut membuatkan semangat patriotiknya berkobar-kobar.

Anak bongsu dari lima beradik ini berkata, dia berharap agar rakyat negara ini akan lebih bersatu padu bagi memastikan Malaysia terus maju pada masa hadapan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas