Berita

Nikmati angin segar di Pulse Grande Hotel

PULSE GRANDE
BILIK Presidential Suite penuh kemewahan. BILIK Presidential Suite penuh kemewahan.
- Diterbit 10 Januari 2020 7:56 AM MYT

PUTRAJAYA merupakan salah satu destinasi yang wajib diterokai kerana keindahan seni bina bangunannya. Dikenali dengan jolokan Bandar Dalam Taman, pasti anda sentiasa berasa tenang sepanjang berada di sini.

Justeru bagi anda yang sedang merancang percutian, penginapan di Pulse Grande Hotel merupakan satu pilihan yang tepat kerana bilik-bilik yang ditawarkan di sini begitu selesa selain menghadap pemandangan indah Putrajaya.

Terletak di lokasi strategik iaitu di pusat pentadbiran Persekutuan, hotel ini mempunyai 118 buah bilik tamu yang direka dengan gaya mewah untuk memenuhi kehendak pengunjung.

RASAI pengalaman indah bermalam di Pulse Grande.

Ternyata keselesaan yang diperoleh tiada tandingannya memandangkan tetamu dapat bersantai sambil menikmati kedamaian hotel yang dikelilingi pepohon hijau yang dapat membangkitkan kesegaran.

Terdapat pilihan bilik di sini antaranya Presidential Suite, Executive Suite, Deluxe Room dan sebagainya mengikut pilihan masing-masing. Bagi anda yang datang bersama kaum keluarga, Family Room turut disediakan.

Pulse Grande Hotel juga menyediakan fasiliti seperti dewan untuk sebarang majlis seperti seminar, majlis perkahwinan dan sebagainya selain ruangan terbuka yang bergantung kepada cita rasa para pelanggan.

MANJAKAN diri sebentar di ruangan spa yang terdapat disini.

Bagi yang berhasrat mengadakan majlis perkahwinan, tukang masak profesional akan memastikan hidangan yang dipersembahkan sentiasa lazat dan menepati kehendak tetamu yang hadir meraikan majlis istimewa anda.

Di ruangan Palm Hill Cafe pula, anda boleh menikmati secawan kopi seperti di restoran mewah manakala Azur Restaurant yang beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 10 malam pula menyajikan hidangan Barat.

Anda juga boleh memanjakan diri di spa yang berdekorasikan kemewahan dan bertaraf antarabangsa. Perawatan sempurna dari hujung rambut ke hujung kaki disediakan selain persekitaran yang eksklusif untuk wanita mahupun lelaki.

Usah risau, pakar terapi spa yang mahir akan membantu anda memilih rawatan yang disediakan antaranya perawatan wajah, skrub badan dan banyak lagi. Pun begitu, digalakkan agar tempahan dilakukan lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas