Berita

Pertandingan dan Pameran Lukisan Denggi bantu tingkat kesedaran

LUKISAN yang berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori sekolah menengah (tingkatan 1-3). LUKISAN yang berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori sekolah rendah (tingkatan 1-3).
- Diterbit 10 Januari 2020 7:29 AM MYT

MENDAPATI tahap kesedaran terhadap ancaman denggi dan langkah membasminya kurang dalam kalangan pelajar, Pertandingan dan Pameran Lukisan Kesedaran Denggi 2019 (Kuala Lumpur dan Selangor) diadakan di Galeri Seni Universiti Malaya, pada 30 November lalu.

Program tersebut merupakan usaha bersama Pusat Penyelidikan Biodiversity and Ecological Research Network, Universiti Malaya serta Persatuan Kajiparasit dan Perubatan Tropika Malaysia dengan penyertaan sekolah rendah dan menengah di Lembah Klang.

Ia bertujuan mewujudkan Malaysia yang sihat dan bebas dari denggi melalui imaginasi serta kreativiti seni pelajar, kemudian disampaikan melalui karya seni kepada orang awam dengan cara yang lebih menarik.

Majlis yang dirasmikan Ketua, Bahagian Kawalan Penyakit, Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Rose Nani Mudin itu turut dihadiri pelajar, ibu bapa dan guru dari pelbagai sekolah di sekitar Lembah Klang.

Menurut Pengerusi program, Dr. Chen Chee Dhang, program tersebut dilaksanakan selepas beliau bersama pasukan penyelidikan mendapati 17.18 peratus pelajar siswazah tidak mengetahui bagaimana denggi disebarkan manakala 23.54 peratus pula tidak menyedari denggi disebarkan oleh nyamuk dan 15.16 tidak mengetahui tentang gejala demam denggi.

CHEE Dhang (tiga dari kiri) menunjukkan lukisan-lukisan yang diperoleh daripada penyertaan pelajar sekitar Lembah Klang kepada Rose Nani.

“Kajian soal selidik itu dilakukan ke atas 900 pelajar siswazah di Lembah Klang pada tahun lalu.

“Kami telah meyediakan beberapa ‘soalan mudah dan asas’ dalam kajian soal selidik, serta menganggap bahawa pelajar siswazah dapat menjawabnya dengan betul.

“Walaupun pelajar siswazah yang menjawap dengan betul adalah lebih daripada 76 peratus, tetapi kami masih tidak berpuas hati dengan keputusannya,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Jelas beliau, keputusan itu disebabkan anak-anak muda yang berpendidikan tinggi tidak mempunyai kesedaran sepenuhnya terhadap ancaman penyakit demam denggi yang serius di negara kita.

Sehubungan itu, katanya, berlandaskan objektif untuk mempromosikan kesedaran virus itu, Program Kesedaran Denggi amat diperlukan terutama dalam kalangan pelajar.

“Pertandingan lukisan merupakan satu usaha untuk menggalakkan kesedaran denggi buat kali pertama khusus di sekolah rendah dan menengah sekitar Lembah Klang, diikuti Pameran Kesedaran Denggi yang mana semua karya seni dari pemenang dipamerkan di Galeri Seni Universiti Malaya,” ujarnya.

LUKISAN yang berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori sekolah rendah (darjah 4-6).

Dalam pada itu, Ketua Pusat Penyelidikan BEN, Profesor Dr. Rosli Ramli menyatakan, penyakit berjangkit yang dibawa vektor nyamuk merupakan suatu kebimbangan kesihatan awam yang semakin meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Justeru ujar beliau, program seperti ini amat penting kerana ia terdiri daripada dua komponen utama iaitu pertandingan lukisan kesedaran yang bermula pada pertengahan Ogos hingga pertengahan Oktober diikuti dengan pameran dari November hingga Februari 2020.

“Pertandingan ini berhasrat untuk menarik perhatian dan memupuk pelajar, guru serta ibu bapa supaya bersama-sama mengambil inisiatif dalam memperoleh maklumat tentang Aedes dan denggi demi menghasilkan karya seni.

“Pihak penganjur bersyukur kepada semua pihak yang memberi sokongan kuat ke atas program ini dengan menghantar hampir 200 karya seni untuk pertandingan.

PEMENANG pertandingan lukisan bergambar bersama Rosli (enam dari kiri) dan Chee Dhang (lima dari kiri).

“Pameran karya seni bersama dengan pengetahuan saintifik akan terbuka kepada orang awam selama tiga bulan dari 30 November 2019 hingga 29 Februari 2020, demi memanfaatkan masyarakat kita secara luasnya,” jelasnya.

Terdahulu, pada majlis itu, seramai 36 orang pelajar telah dianugerahkan sebagai pemenang pertandingan melukis yang mana 13 pelajar dari kategori sekolah rendah (Darjah 4 – 6), 10 pelajar dari sekolah menengah (Tingkatan 1 – 3) dan 13 pelajar dari sekolah menengah (Tingkatan 4 – 6).

Karya seni dari Aliya Damia Azmi, 11, dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1); Leong Tong Yan, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katholik, Selangor dan Go Jing Jie, 16, dari SMK Kepong, Kuala Lumpur telah dianugerahkan tempat pertama untuk kategori masing-masing.

Sementara itu, SMK Kepong, Kuala Lumpur dan SRJK (C) Sungai Way, Selangor telah dianugerahkan sebagai sekolah menengah dan sekolah rendah yang telah menyumbang paling banyak karya seni yang cemerlang dalam program ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas