PUTRAJAYA – Pelaksanaan program barkod #JomRawatBumi yang menempatkan 20 tong kitar semula di dua buah blok perumahan di sini berjaya mengurangkan 16 tan kutipan sampah sehari.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, sebelum program tersebut dilaksanakan, barangan kitar semula yang diterima pihaknya adalah lima hingga enam tan sehari.
“Selepas memulakan program ini di Presint 8 dan Presint 11, kita mendapat lebih kurang 16 tan sehari dan itu merupakan pencapaian baik untuk Putrajaya. Pada masa ini, fokus utama adalah di bangunan tinggi.
“Kita letak tong ini, pertamanya kerana ia selamat dan tidak boleh dimasuki. Keduanya, bersih kerana sisa tidak bersepah-sepah dan kekal. Ini sampah kering untuk kitar semula bagi mengelakkannya di hantar ke tapak pelupusan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bandar Hijau Putrajaya baru-baru ini.
Menurut Mohd. Zain, pihaknya akan meneruskan program seumpama itu di 86 lokasi di seluruh Putrajaya yang mana tong kitar semula akan dihantar ke blok-blok perumahan tertentu sekali gus meningkatkan lagi kutipan sampah kitar semula.
Ujarnya, Putrajaya merupakan bandar pemacu dan model untuk program berkenaan sebelum ia dilaksanakan di bandar-bandar lain.
Dalam pada itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim memaklumkan, program tesebut merupakan satu insentif untuk penduduk di Putrajaya yang membolehkan mereka berbelanja sambil kitar semula.
“Biar fasa pertama kita laksanakan dulu dan lihat penglibatan penduduk serta kesungguhan mereka untuk bersama-sama kerana akhirnya ini adalah untuk generasi akan datang, selamatkan bumi di samping untuk memastikan tabiat positif dilakukan masyarakat.
“Kalau penglibatan dan penyertaan mereka lebih meluas, maka kita akan memperluaskannya lagi dengan meletakkan tong ini di tempat-tempat yang strategik bagi memudahkan mereka membuang atau mengutip sampah,” katanya.