Selebriti

Nelissa tak kuat terima kecaman

- Diterbit 22 Mac 2024 11:43 AM MYT

PELAKON Nelissa Nizam akui tidak sekuat rakan baiknya Sophia Albarakbah apabila berhadapan dengan kontroversi dan kecaman hebat.

Nelissa atau nama lengkapnya, Nelissa Edreena Nizam, 26, berkata dia yang pernah dikritik kerana tidak layak bergandingan dengan Zul Ariffin dalam drama Tarik Aku Ke Syurga, menganggap kontroversi adalah suatu yang menyeramkan.

“Ketika itu tak nak tengok media sosial sebab saya sangat terkesan. Takutnya sebab orang yang kritik tu tak kenal saya pun. Apabila Sophia terkena kontroversi dan ada yang cakap itu perlu sebagai artis, tapi saya tahu ia sangat melukakan hatinya.

“Saya rasa siapa-siapa yang ada di tempat dia, pasti akan rasa terkesan. Iyalah, bangun pagi dah kena caci maki oleh netizen. Siapa pun tak mahu situasi itu.

“Saya tidak sekuat Sophia. Bagi saya, Sophia dan mana-mana artis yang boleh berhadapan dengan kontroversi serta cacian orang, mereka sangat hebat dan kental,” katanya.

Dalam masa yang sama, Nelissa akui tidak boleh terlalu selesa sebaliknya perlu mempersiapkan diri dalam berhadapan dugaan yang mendatang dalam dunia seni.

“Apa-apa pun saya tetap kena bina kekuatan dalaman untuk jadi kental. Mahu atau tidak, saya tetap kena hadap kerana itu adalah asam garam anak seni. Apabila ada yang tanya tak nak cipta kontroversi ke? Sebenarnya saya takut. Namun, kalau ia datang sendiri, saya perlu hadapinya juga,” ujarnya.

Menyentuh tentang kontroversi, Nelissa juga kagum dengan ketabahan hati rakan-rakannya kumpulan The Gadys yang dikecam hebat sebelum ini.

Ia berikutan apabila kumpulan The Gadys menerima kecaman teruk netizen berikutan kegagalan menyanyi dengan baik dalam satu program hiburan, baru-baru ini.

Nelissa yang juga bekas anggota asal The Gadys berkata masyarakat harus memberikan peluang kepada kumpulan tersebut untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada mereka dan menjadi lebih baik.

“Apabila tengok mereka kena kecam sebegitu rupa, memang sedih jugalah. Bagaimanapun bukanlah posisi saya untuk bercakap apa-apa sebab saya bukan lagi ahli kumpulan itu.

“Saya percaya mereka sudah memberikan yang terbaik pada malam itu. Tak kisahlah orang nak cakap apa pun sebab mereka boleh menyanyi di atas pentas, jadi diharapkan perkara ini menjadi pembakar semangat buat mereka,” tambahnya.

Sebelum ini, Nelissa pernah merakamkan lagu Gadys Raya bersama The Gadys pada 2022.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas