Selera

Nasi Goreng Puaka, Ayam Masak Merah Nirmala… Tarik Pelanggan SAM

Desa Tun Razak
- Diterbit 9 November 2020 4:00 AM MYT

SEBUT sahaja Nasi Goreng Puaka, pasti ada yang fikir ianya berkaitan dengan alam mistik. Namun, itulah tarikan utama gerai Bonda.

Menurut pemilik gerai Bonda, Md Fazali Md Some,38,  atau lebih mesra dipanggil Sam, Nasi Goreng Puaka adalah menu yang sentiasa dinanti-nantikan oleh kebanyakan penduduk di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur.

INILAH Nasi Goreng Puaka yang menjadi tarikan di Gerai Bonda, Desa Tun Razak, Kuala Lumpur

“Perkataan puaka itu merujuk kepada tahap kepedasan nasi goreng itu. Kata pelanggan di sini, jarang jumpa nasi goreng yang berganda-ganda tahap pedasnya tetapi sedap dimakan.

“Apa yang saya boleh kongsi, Nasi Goreng Puaka ini menggunakan dua kilogram nasi putih bersama sekurang-kurangnya 80 biji cili padi merah.

“Namun ada cara masaknya yang membuatkan ia sedap dimakan dan menyebabkan ramai pelanggan ternanti-nanti. Semua itu dalah resipi arwah ibu saya,” katanya kepada Wilayahku.

Selain Nasi Goreng Puaka, menu lain yang turut menjadi kegemaran ramai adalah ayam goreng crispy RM1, Nasi Lemak Seri Bonda, Sambal Paru Lekit-Lekit, Sambal Sotong Gula Kabung dan Rendang Ayam Nyum Nyum.

Bukan itu sahaja, Sam juga terkenal dengan masakannya yang lain seperti Pulut Kuning Rendang Ayam Pusaka, Nasi Tomato Blackpink, Ayam Masak Merah Nirmala, Sambal Udang Jerat Percintaan  dan Sambal Sotong Bidadari Syurgamu.

“Alhamdulillah.. walaupun kita masih dalam perintah kawalan bagi mengekang penularan COVID-19, jualan saya tetap laris setiap hari.

“Saya masih ingat pesanan arwah ibu,  masaklah dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Dalam masa yang sama, tidak lupa untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap kali mahu memasak,” ujar Sam lagi.

SAM bersyukur kerajaan sentiasa memberi galakan kepada peniaga- peniaga kecil untuk terus jana pendapatan.

Sesiapa yang ingin mencuba masakan Sam, bolehlah berkunjung ke Gerai Bonda yang terletak berhampiran jalan bersebelahan Medan Selera Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Gerai Bonda dibuka pada pukul 4 petang hingga 10 malam setiap hari kecuali Ahad.

Sebarang maklumat boleh ke Facebook (Sam Harahap) atau Instagram @sam_damia. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas