Berita

“Nak dapat RM1 dalam satu hari pun susah”- Peniaga

PRODUK kraf tangan tidak dapat dijual kerana ketiadaan pengunjung
- Diterbit 15 Mac 2024 9:50 AM MYT

“HENDAK dapatkan RM1 sehari pun susah,” itulah antara keluhan hampir semua peniaga di aras dua Pasar Sentral Labuan di sini.

Ada diantara mereka yang sudah berniaga lebih daripada 40 tahun dan menganggap situasi tersebut antara terburuk sejak terpaksa berpindah dari bangunan pasar lama ke kompleks pasar tersebut pada tahun 2016 yang lalu.

Peniaga cenderamata, Raja Mohd Ali Mustapha berkata, isu kekurangan pelanggan itu adalah isu yang sering menghantui semua peniaga di Pasar Sentral UTC itu sejak mula beroperasi kerana bahan jualan tidak terjual dan bakal berdepan kerugian berganda.

“Perkara ini telah lama kami bangkitkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mengatasi isu ini sejak ia mula dibuka dan tiada sebarang perubahan.

“Sebagai peniaga di sini, pastinya amat terkesan kerana kawasan aras dua ini adalah tidak strategik bagi premis pakaian dan cenderahati kerana kurang dikunjungi orang ramai yang datang ke Pasar Sentral UTC ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Raja Mohd Ali berkata masalah yang dihadapi beliau dan rakan-rakan peniaga lain disebabkan lif rosak sekali gus menyukarkan pengunjung untuk membeli barangan yang dijual.

“Jika saya berada pada situasi pengunjung, saya juga akan rasa tidak mahu untuk naik kerana keadaan lif yang sentiasa rosak dan terpaksa menaiki tangga.

Raja Mohd Ali berkata berikutan masalah tersebut ia telah menyebabkan sumber pendapatannya merosot dan terpaksa mengharapkan hasil jualan secara dalam talian sahaja.

“Kalau hanya mengharapkan daripada kedatangan pengunjung ke kedai, nak dapatkan RM1 dalam satu hari pun susah dan kadang kalanya tiada hasil jualan.

“Saya bersama peniaga yang lain amat mengharapkan tindakan dan jalan penyelesaian masalah ini yang telah menghantui kami sejak mula beroperasi di sini,” katanya.

Rakannya yang mahu dikenali sebagai Choong berkata dia ketika ini hanya mengharapkan hasil jualan daripada daripada pelancong luar yang mengunjungi kedainya.

“Kedai di aras dua ini sangat sunyi berbanding di aras bawah dan bagi saya kawasan ini tidak sesuai kepada kami sebagai peniaga cenderamata kerana setelah bertahun-tahun berniaga, kami masih menerima nasib yang sama.

“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat membantu kami kerana terpaksa menanggung kerugian bertahun-tahun dan menggunakan duit simpanan sendiri untuk membayar sewa premis,” katanya.

Choong yang telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 45 tahun lalu berkata lokasi perniagaannya sudah beberapa kali ditukarkan dan pernah menjana pendapatan lumayan satu ketika dahulu.

“Apabila sudah berpindah ke pusat ini sejak tahun 2016, perniagaan saya terus merosot dan jika perkara ini berterusan, saya terpaksa mengambil tindakan terakhir dengan menutup perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga yang sama turut menyuarakan permohonan kepada Perbadanan Labuan (PL) agar dapat memberikan inisiatif pemberian diskaun 50 peratus kadar sewaan premis bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung berikutan kemerosotan perniagaan.

Sebelum ini, inisiatif pemberian diskaun 50 peratus kadar sewaan premis amat membantu para peniaga khususnya peniaga di aras dua yang berdepan dengan dilema kekurangan pengunjung.

Pada 14 Julai tahun lalu, mesyuarat PL yang dipengerusikan oleh Tan Sri Anifah Aman telah meluluskan pemberian diskaun 50 peratus kadar sewa premis niaga di kawasan itu khususnya di aras satu dan dua serta di Pasar Sentral Labuan, Pasar Khinzir, Stesen Bas dan Stesen Teksi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas