Berita

PjH penuhi impian miliki rumah idaman

KEMPEN pemilikan rumah Tawaran Hartanah Putrajaya tawar peluang hebat
- Diterbit 15 Mac 2024 9:45 AM MYT

PEMAJU induk Putrajaya, Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) mengumumkan kempen pemilikan rumah Tawaran Hartanah Putrajaya yang menawarkan peluang hebat untuk mendapatkan rumah idaman dengan insentif dan tawaran menarik kepada pembeli rumah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PjH, Datuk Ts Izwan Hasli Mohd Ibrahim, pelancaran kempen yang telah dilancarkan pada 2 dan 3 Mac lalu itu menampilkan tawaran menarik yang direka untuk memenuhi keperluan berbeza keluarga dan individu yang berpotensi menjadi pemilik rumah.

“Menariknya, Tawaran Hartanah Putrajaya menawarkan diskaun dan rebat sehingga 45 peratus untuk hartanah terpilih tertakluk kepada terma dan syarat.

“Pelanggan juga mempunyai beberapa pilihan untuk dipilih seperti rebat tunai, pengurangan jumlah pinjaman, tempoh pembayaran balik bank bulanan sehingga empat tahun disubsidi oleh pemaju atau pakej reka bentuk dalaman oleh perunding dalaman tempatan,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Izwan berkata tawaran tersebut turut menawarkan koleksi kediaman indah dan luas di tepi Tasik Putrajaya yang juga dikelilingi oleh kemudahan hijau dan moden.

“Untuk makluman, Pangsapuri Residensi Sakura dan Kondominium Flora Rosa siri ke-2 yang terletak di Presint 11 merupakan pilihan pelaburan sangat baik serta rumah permulaan ideal untuk keluarga muda yang moden dan aktif.

“Seterusnya, vila berkembar Astana Residence @ Presint 8 pula menawarkan rumah berkembar dan ruang tamu hebat manakala Thymes8 di Presint 11 mempersembahkan koleksi kediaman halus dengan susun atur yang luas serta reka bentuknya sesuai untuk keluarga besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pemilik perniagaan dan usahawan untuk menubuhkan perniagaan mereka di kawasan berprestij Putrajaya.

“Bandar ini mempunyai penduduk sedia ada yang berkembang maju dengan lebih 100,000 orang penduduk dan 70,000 pekerja.

“Pihak PjH juga telah mengadakan tawaran menarik iaitu Ochre Business Suites yang terletak bertentangan dengan Kompleks Beli-Belah Alamanda dan Pejabat Kedai Nadi (3-4 tingkat) yang terletak di Enklaf Diplomatik di Presint 15,” ujarnya Wilayah Persekutuan itu juga menyediakan gaya hidup selesa dan berkualiti kepada penduduknya dengan taman subur, tasik yang tenang, kemudahan sukan dan rekreasi serta pelbagai kemudahan lain.

Selain itu, Izwan berkata Putrajaya turut menawarkan gaya hidup bandar yang lengkap dengan 25 sekolah pintar, dua sekolah antarabangsa, universiti antarabangsa dan penjagaan kesihatan terkemuka yang mana semuanya berada di dalam bandar.

“Untuk keselamatan dan keselesaan warga sekitar, pusat pentadbiran kerajaan itu mempunyai 462 kamera litar tertutup (CCTV) dan 89 butang panik yang dipantau oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Bukan itu sahaja, Putrajaya juga dihubungkan dengan akses lancar melalui lebuh raya utama dan sistem pengangkutan awam bersepadu termasuk laluan Express Rail Link (ERL) dan Mass Rapid Transit (MRT) di Putrajaya Sentral, Presint 7.

“Putrajaya merupakan bandar bertaraf dunia dan tempat menarik untuk melakukan aktiviti riadah, bekerja dan lokasi yang bagus untuk didiami. Oleh itu, ini adalah masa terbaik dan peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan untuk semua rakyat Malaysia merebut tawaran memiliki hartanah dan membuka perniagaan di sini,” ujarnya yang komited untuk terus bekerjasama dengan PPj pada masa akan datang bagi memastikan kesejahteraan penduduk di Wilayah Persekutuan itu terjamin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas