Berita

Peniaga Pasar Sentral berisiko gulung tikar

KEADAAN pasar yang lengang menyebabkan peniaga tidak memperolehi pendapatan sekali gus berisiko untuk gulung tikar.
- Diterbit 15 Mac 2024 9:50 AM MYT

MAJORITI peniaga aras dua di Pasar Sentral Labuan (UTC) kini berdepan dengan dilema operasi perniagaan yang semakin merudum susulan kekurangan pengunjung ke pusat itu yang mula beroperasi pada 2016 sehingga kini.

Hasil tinjauan WilayahKu mendapati keadaan pasar itu agak lengang dan suram pada hari waktu bekerja dan ia hanya dikunjungi penduduk tempatan pada hujung minggu bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Menurut Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga UTC Pasar Sentral, Asmadi Ahmad masalah itu berlaku susulan kekurangan promosi dan kemudahan di pusat itu yang agak kurang baik menyebabkan pengunjung tidak berminat untuk mengunjungi aras dua.

Katanya, berdasarkan rekod dari tahun 2023 sehingga kini, lebih 30 peratus daripada jumlah 163 peniaga termasuk bahagian barangan basah dan kering telah gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi perniagaan mereka.

Menurutnya, isu tersebut berpunca daripada kurang usaha mempromosikan tempat itu sekali gus menyebabkan kesukaran kepada peniaga khususnya di aras dua.

“Pihak persatuan telah mengadakan perjumpaan bersama beberapa agensi berkaitan termasuklah pihak Perbadanan Labuan (PL) untuk mempromosikan produk-produk perniagaan dipaparkan di papan iklan besar di Dataran Labuan sebagai usaha mengetengahkan produk peniaga di Pasar Sentral UTC.

“Kita sudah berjumpa dan membuat perbincangan bersama mengenai usaha ini, namun sehingga sekarang kami belum menerima apa-apa arahan atau tindakan susulan,” katanya.

Jelas Asmadi, usaha untuk mempromosikan produk jualan peniaga di pusat ini khususnya kraf tangan dan cenderahati perlu dilakukan berikutan faktor lokasi yang agak tersorok dan memerlukan pengunjung untuk ke aras dua.

“Saya percaya kekurangan pengunjung ke pusat ini disebabkan orang ramai khususnya pelancong luar tidak mengetahui lokasi premis ini dan orang tempatan pula tidak akan naik untuk membeli produk kraf tangan.

“Selain itu, isu kekurangan tempat letak kereta di pusat ini juga menjadi salah satu faktor menyebabkan orang ramai kurang berkunjung ke sini untuk berbelanja dan lebih memilih ke pasar raya yang lain,” katanya.

Asmadi,”berkata pihaknya serta peniaga terlibat pernah menyuarakan isu tersebut kerana ia menyukarkan peniaga untuk bergerak atau melakukan kerja-kerja pemunggahan barang jualan mereka.

“Kami telah menyuarakan isu ini kepada PL dan berharap mereka dapat mencari inisiatif bagi mengatasi masalah ini dengan segera.

“Saya percaya dan yakin pihak PL mampu mengatasi isu ini demi kesejahteraan penduduk di sini sekali gus membantu peniaga kecil di pusat ini,” katanya.

Asmadi turut mencadangkan kepada jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk melaksanakan program tertentu di Pasar Sentral supaya secara tidak langsung ia dapat mempromosikan pusat ini.

“Kami berharap agensi kerajaan di Labuan dapat memberikan kerjasama bagi menjadikan pusat ini sebagai tempat penganjuran pelbagai program kerajaan dan sebagainya agar dapat menaikkan semula pusat ini agar ia sentiasa dikunjungi oleh orang ramai.

“Selain itu, ini adalah usaha kami untuk membantu para peniaga agar mereka mampu bangkit semula dalam perniagaan mereka dan pada masa sama dapat mengelakkan perniagaan daripada gulung tikar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas