Biz

MyTutor anjur kelas tuisyen online, beri peluang graduan menganggur jadi tutor

Mohd Hafiz Kamaruddin||
- Diterbit 31 Mac 2022 6:42 AM MYT

MYTUTOR Academy Sdn Bhd syarikat berasaskan perkhidmatan kelas tuisyen di rumah (home tuition) dikenali sebagai MyTutor yang dilancarkan baru-baru ini mempunyai lebih 1,900 tutor dengan 17,000 pelajar yang berdaftar seluruh Malaysia termasuk pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hafiz Kamaruddin berkata MyTutor yang telah ditubuhkan sejak tahun 2016 akan sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan semasa pelajar.

“Kekuatan MyTutor adalah menyediakan servis tuisyen di rumah namun disebabkan pandemik ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada MyTutor untuk menambah servis baru iaitu platform kelas secara dalam talian yang juga dilancarkan hari ini iaitu edufy.my,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif MyTutor Academy, Mohd Hafiz Kamaruddin berucap di majlis pelancaran MyTutor dan Edufy.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus selepas majlis pelancaran MyTutor dan Edufy yang telah dirasmikan oleh barisan pengasas MyT EduTech Berhad yang merupakan ibu syarikat kepada MyTutor Academy Sdn. Bhd.

Mohd Hafiz menambah, ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes COVID-19, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi kaedah terbaik dalam memastikan pendidikan dapat diteruskan apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

“Menerusi pelaksanaan PdPR kaedah pembelajaran diajar oleh para guru di sekolah menggunakan kemudahan peranti dan akses internet telah mendapat sambutan baik di kalangan pelajar.

“Sebagai peneraju servis tuisyen di rumah, kami juga mengikuti perkembangan tersebut dengan menawarkan kelas tuisyen secara dalam talian secara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi 24 pelajar dalam satu-satu masa”, ujarnya.

Katanya Edufy telah dibangunkan sejak tiga tahun lalu sebagai alternatif kepada pelajar namun kebanyakan ibu bapa lebih gemar memilih servis guru datang ke rumah mengajar secara bersemuka.

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak mempunyai pilihan dan kami ambil kesempatan menggunakan platform Edufy secara efektif dan percubaan tersebut nyata berjaya kerana draf permintaan meningkat,” katanya.

“Edufy iaitu platform pertama yang menghubungkan aplikasi Zoom secara bersepadu bagi pelaksanaan kelas berserta modul pelajaran secara digital mengikut permintaan pelajar.

“Sistem pengurusan pembelajaran diautomasi sepenuhnya bermula daripada pendaftaran, pembayaran, pautan Zoom sehinggalah rakaman kelas diuruskan oleh sistem.

“Edufy kini terdapat lebih 130 kelas dan mampu menampung kelas yang bersiaran langsung secara serentak pada skala yang lebih besar,” ujarnya.

Bagaimana pun akuinya, di awal pengisytiharan PKP beliau dan isteri Siti Zulaikha Jeffry yang sama-sama membina perniagaan turut terkesan kerana sebelum ini syarikat mereka memfokuskan servis mengajar bersemuka dengan pelajar, sama ada secara perseorangan mahu pun berkumpulan, kata pasangan tersebut yang juga merupakan lulusan Ijazah Sains Nuklear daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Memang terkesan di peringkat awal lebih-lebih lagi memikirkan pendapatan tutor yang terjejas terutamanya tutor sepenuh masa yang berkhidmat dengan MyTutor.

“Kami mengambil masa beberapa bulan sebelum bangkit dan mendapat sokongan pasukan yang mahir dalam teknologi digital yang diketuai oleh Mohd Farhan Firdaus Jamil yang juga salah seorang pengasas MyT EduTech Berhad sehingga terbinanya Edufy.

“Farhan sangat faham kehendak kami kerana sistem pengurusan MyTutor juga dibangunkan oleh beliau.

“Situasi pandemik menjadi pencetus kepada kami bagi mencapai matlamat yang lebih besar dalam perniagaan kerana perubahan permintaan daripada ibu bapa sendiri.

“Misalnya, pada tahun lepas terdapat ibu bapa yang meminta MyTutor menyediakan kelas persediaan UPKK dan MyTutor dapat memenuhi permintaan tersebut. Dalam masa kurang dua minggu, program tersebut dilancarkan dan bilangan pendaftaran mencapai sasaran penuh”, tambahnya lagi.

Jika sebelum ini kebanyakan ibu bapa mencari pusat tuisyen dan sanggup mengeluarkan belanja untuk membantu anak-anak memperoleh teknik lebih efisen sebagai persediaan menduduki peperiksaan utama, situasi kini berubah.

Impak pandemik menyebabkan pandangan sebahagian ibu bapa berubah.

Keperluan tuisyen dan tutor terbaik bukan hanya untuk lulus cemerlang tetapi memastikan mata pelajaran yang sepatutnya dibekalkan kepada pelajar disampaikan kepada mereka menepati tahap penguasaan pelajar.

“Misalnya kini, permintaan untuk kelas membaca adalah yang tertinggi dan ia melibatkan murid yang berumur empat, lima dan enam tahun kerana kumpulan ini paling ramai terjejas penguasaan 3M iaitu membaca, mengira dan menulis,” ujarnya.

KETUA Pegawai Eksekutif My Tutor Academy Sdn Bhd, Mohd Hafiz Kamaruddin (tengah) bergambar bersama Pengarah Urusan Siti Zulaika Jeffry (kanan) dan Pengarah Eksekutif Mohd Farhan Firdaus Jamil (kiri)

Menyentuh mengenai tenaga pengajar di MyTutor jika sebelum ini pihaknya menawarkan peluang terbuka kepada semua pemegang ijazah dari mana-mana bidang kini MyTutor mengorak langkah mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak Institusi Pengajian Tinggi bagi membantu lebih ramai graduan.

Kerjasama ini melibatkan siswazah yang telah tamat belajar tetapi belum memperoleh pekerjaan bagi menimba pengalaman sebagai tenaga pengajar.

Selain keupayaan mereka menyampaikan modul kepada pelajar, kemahiran berkomunikasi juga meningkat.

“Lebih daripada itu ganjaran pendapatan daripada pekerjaan itu juga boleh dimanfaatkan sebaiknya kerana terdapat tutor yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan jika mengajar secara sepenuh masa.

“Kami menyokong graduan supaya kadar pengangguran dikurangkan di samping mencari “duit poket” sebelum memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelulusan semasa di universiti,” katanya.

MYTUTOR turut mendapat liputan meluas daripada pihak media

Kumpulan tutor ini katanya perlu menjalani beberapa ujian kelayakan sebelum diserap masuk sebagai tenaga pengajar termasuk latihan dan kemahiran mengajar sama ada kelas bersemuka mahupun dalam talian.

Program bimbingan serta latihan diberikan secara percuma kepada semua tutor berdaftar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas