Berita

MyMedic@Wilayah: 6000 warga PDRM terima vaksin

PEMBERIAN vaksin secara Mobil Vaksin kepada anggota dan ahli keluarga PDRM di Kuarters Perumahan PDRM Desa Aman 2, Lembah Pantai hari ini.
- Diterbit 24 Jun 2021 7:05 AM MYT

SERAMAI 6000 warga PDRM akan menerima vaksin menerusi fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 termasuk barisan hadapan di Wilayah Persekutuan (WP).

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa fasa kedua ini turut melibatkan pusat penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi.

“Fasa kedua ini turut melibatkan pusat penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Desa Aman dan Desa Tasik, WP Kuala Lumpur dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi menggunakan empat trak vaksin bergerak di Desa Aman dan satu trak di Desa Tasik.

“Setiap lokasi mempunyai petugas-petugas kesihatan merangkumi tiga doktor, lima jururawat, dua paramedik, empat petugas bukan perubatan (pentadbiran) dan lebih 50 orang sukarelawan di setiap lokasi,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya inisiatif ini bagi meningkatkan tahap kesiapsagaan anggota PDRM dengan menfokuskan pemberian vaksin kepada mereka yang bertugas sebagai pasukan barisan hadapan dan sangat berisiko dijangkiti kepada ahli keluarga mereka.

ANNUAR (tengah) melihat salah seorang anggota PDRM yang menerima vaksin hari ini.

Annuar berkata KWP mensasarkan 40 trak dengan 33,000 suntikan vaksin dalam sehari dan ia mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV).

“KWP mensasarkan 40 trak bagi Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah dengan 33,000 suntikan vaksin dalam sehari untuk dilaksanakan di WP Kuala Lumpur termasuk Putrajaya dan Labuan.

“Sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan PPV mega selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah,” jelasnya.

Jelasnya kejayaan program vaksinasi ini adalah hasil kerjasama strategik KWP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutan (YWP) serta jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

Tambahnya lagi pelaksanaan Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada pelbagai pihak termasuk para sukarelawan (PriVo) serta Persatuan-Persatuan Penduduk/Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan program ini. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas