Berita

Muhyiddin lawat penduduk PPR Desa Rejang, dengar luahan dan janji bantu

KUALA LUMPUR, 25 Ogos -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) hari ini turun padang menziarahi penghuni rumah PPR warga emas, Chan Kam, 78.
- Diterbit 26 Ogos 2020 4:03 AM MYT

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini turun padang melawat penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di sini bagi meninjau dan melihat sendiri keadaan kehidupan penduduk miskin bandar di situ.

Perdana Menteri yang melakukan lawatan tersebut sebelum menghadiri Persidangan Dewan Rakyat, sempat menziarah penghuni tiga unit PPR di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), singgah bersarapan di gerai Che Nah yang terletak di medan selera dan beramah mesra dengan penduduknya.

Muhyiddin yang berkongsi mengenai lawatan itu dalam laman Facebooknya, berkata penduduk PPR itu merupakan kelompok yang terkesan dan terpaksa bergelut dengan kesusahan untuk meneruskan kehidupan di bandar.

“Saya sempat menziarah dua orang warga emas berusia 78 tahun, (Puan) Chan Kam dan (Puan) Danalachimi Baboo Naidu serta pasangan suami isteri OKU, (Encik) Rosali Md Nasid dan (Puan) Artinie Besah,” katanya dalam entri baharu Facebook beliau.

Muhyiddin turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan beliau yang memakai pelitup muka beramah mesra dan mengadakan lawatan yang agak santai bersama penduduk PPR tersebut. Beliau juga memuat naik video lawatan tersebut.

Berkongsi mengenai lawatan itu, perdana menteri kagum dengan ketabahan dan kegigihan Rosali yang menyara isteri dan dua anaknya.

“Beliau yang cacat kedua-dua tangan dan menggunakan kaki kanan palsu, mencari pendapatan dengan membuka kedai jahit. Beliau adalah penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC).

“Pada pertemuan tersebut, Rosali menyuarakan tentang kesukaran mendapatkan dana untuk modal berniaga. Beliau ada memohon beberapa inisiatif di bawah seliaan kerajaan,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri telah meminta pihak JKM agar dapat membantu Rosali dalam perkara tersebut dan membantunya mengembangkan perniagaannya.

Selain itu, Muhyiddin turut berkesempatan bertemu dengan Chan Kam yang tinggal bersama anak lelaki OKU dan Danalachimi yang tinggal bersendirian.

Katanya, mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan dan dibantu oleh sukarelawan yang datang seminggu sekali untuk membelikan barang keperluan dan membersihkan rumah.

“Saya juga telah diberitahu terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama agensi kerajaan memberi pertolongan dan sokongan. Syabas dan terima kasih,” kata beliau.

Muhyiddin menjelaskan kedua-dua warga emas itu bukan sahaja menerima Bantuan Prihatin, malah berada di bawah pemerhatian JKM yang menyalurkan Bantuan Orang Tua (BOT).

Beliau berkata lawatan tersebut banyak memberi maklumat kepadanya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.

“Kebanyakan mereka membuat perniagaan kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang membuat kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Saya yakin, kesemua mereka menginginkan kehidupan yang lebih baik. Bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa mereka lalui,” katanya.

Pemimpin nombor satu negara itu menjelaskan bahawa banyak inisiatif telah dilakukan oleh JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu golongan itu.

Beliau mengucapkan syabas kepada kementerian dan agensi kerajaan yang terbabit dan berharap usaha dan inisiatif itu diteruskan.

Muhyiddin juga percaya banyak lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan serta agensi kerajaan dalam memastikan golongan tersebut terbela dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.

“Antaranya dengan menambah baik pusat-pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasakan pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan,” katanya.

Perdana Menteri juga terus membangkitkan permasalahan penduduk di PPR tersebut ketika pramesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) tengah hari tadi dan meminta agar satu langkah proaktif serta pelan tindakan secara holistik disegerakan bagi membantu mereka untuk memastikan golongan itu lebih berdaya maju.

Beliau turut bangga kerana ramai rakyat Malaysia yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan yang lebih baik.

“Ada antara mereka melakukan dua tiga kerja sehari bagi menambah pendapatan keluarga. Ada yang memandu teksi dan Grab. Ada yang menghantar makanan. Ada juga membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja mereka,” katanya,

Justeru itu, beliau berikrar akan berusaha untuk memastikan golongan seperti itu tidak dipinggirkan malah perlu lagi dibantu.

Muhyiddin berkata kerajaan akan sentiasa meletakkan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan itu.

“Sama-sama kita berusaha untuk membina Malaysia yang lebih baik,” beliau mengakhiri entrinya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas