Berita

PRN Sabah: Pemuda BN Serah senarai nama kepada Bung Moktar

- Diterbit 26 Ogos 2020 3:57 AM MYT

PEMUDA Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan senarai nama kepada Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk dipertimbang sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata senarai nama itu sudah melalui proses saringan sebelum diserahkan kepada Bung Moktar, yang mengetuai jentera BN bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

“Sudah tentu Pemuda BN mengharapkan 85 peratus calon terdiri daripada muka baharu dalam kalangan anak-anak muda yang tidak ada sebarang kecelaruan dalam politik seterusnya boleh memberikan suatu harapan baharu kepada rakyat di Sabah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selepas menjadi pembangkang, BN mahu bangkit dengan wajah baharu serta sebagai sebuah parti yang lebih baik untuk berkhidmat kepada rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 Sept dengan penamaan calon pada 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept.

Terdahulu, Asyraf Wajdi beramah mesra dengan penduduk setempat dalam Program Ziarah Kasih di sekitar Pekan Lama Sungkai dekat sini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas