Agama

MTMZA, Hospital Pakar Al-Islam anjur majlis berkhatan beramai-ramai

|MASJID Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya bekerjasama dengan Hospital Pakar Al-Islam menganjurkan acara berkhatan sempena cuti sekolah.|Imam merangkap Penolong Pengarah MTMZA
- Diterbit 26 Disember 2022 8:24 AM MYT

SEMPENA cuti persekolahan akhir tahun, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya dengan kerjasama Hospital Pakar Al-Islam Kampong Baru telah menganjurkan program berkhatan pada 17 Disember baru-baru ini.

SERAMAI 100 orang kanak-kanak termasuk asnaf terlibat.

Seramai 100 orang kanak-kanak pelbagai peringkat umur telah menyertai program tahunan ini yang berlangsung di dewan MTMZA.

Menurut Imam merangkap Penolong Pengarah MTMZA, Ustaz Abdul Halim Zakaria, program khatan ini memudahkan urusan masyarakat khususnya di Putrajaya di samping merapatkan silaturrahim.

“Tujuan majlis khatan ini adalah untuk memudahkan penduduk Putrajaya melaksanakan khatan untuk anak-anak mereka.

“Kami telah menyediakan hospital terpilih iaitu Hospital Pakar Al-Islam yang menyediakan kepakaran mereka untuk menjayakan program ini. Jadi tidak perlu lagi ibu bapa mencari tempat lain.

“Mungkin ada ibu bapa yang sibuk bekerja tak sempat mencari tempat berkhatan anak, jadi dengan adanya program ini, ia secara tak langsung memudahkan masyarakat Putrajaya.

“Selain memudahkan urusan mereka, program ini sebenarnya merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara penduduk Putrajaya,”katanya.

MASJID Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya bekerjasama dengan Hospital Pakar Al-Islam menganjurkan acara berkhatan sempena cuti sekolah.

Ustaz Abdul Halim juga meluahkan rasa syukur akan sambutan menggalakkan daripada penduduk Putrajaya.

“Permohonan sangat banyak tetapi kami hanya pilih 100 peserta termasuklah 20 orang kanak-kanak asnaf.

“Sebenarnya sudah dua tahun kami tidak menganjurkan program sebegini disebabkan negara dilanda pandemik COVID-19. Sebelum itu, setiap tahun kami anjurkan program berkhatan.

“Apa yang istimewanya kali ini, kami menjalinkan kerjasama dengan Hospital Pakar Al-Islam Kampong Baru di mana semua kepakaran berkaitan khatan ini diserahkan kepada mereka, kami hanya menyediakan tempat sahaja,” ujarnya.

Imam merangkap Penolong Pengarah MTMZA, Ustaz Abdul Halim Zakaria, berharap program khatan ini dapat merapatkan silaturrahim sesama penduduk Putrajaya.

Majlis khatan ini hanya mengenakan bayaran hanya RM 100 berbanding RM 250 jika di luar program. Manakala untuk Kanak-Kanak asnaf adalah percuma.

Majlis berkhatan ini turut dihadiri oleh Pengarah Hospital Pakar Al-Islam Dr Ishak Mas’ud dan Pengurus Besar Hospital Pakar Al-Islam Azlina Yati Mohd Darunai.

 

Khatan, CPR dan ibadah pesakit

Pengarah Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Ishak berharap program ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

Ini kerana pengisian program bukan sahaja tertumpu kepada majlis khatan tetapi juga menekankan soal kepentingan kaedah pertolongan cemas CPR (Cardio-Pulmonary Resuscitation) dan ibadah ketika sakit.

“Program berkhatan ini istimewa kerana melibatkan kerjasama Hospital Pakar Al-Islam dan MTZA, di mana ia adalah program yang kami panggil sebagai Islamic Social Responsibility yang membantu masyarakat.

“Selain mahu mendekatkan Hospital Pakar Al-Islam dengan masyarakat, kami turut mendedahkan kepada masyarakat tentang kepentingan CPR.

“Kami mahu seramai mungkin masyarakat terutamanya yang sering datang ke masjid supaya mereka tahu sedikit sebanyak tentang CPR. Di mana kami mendedahkan ilmu dan juga latihan praktikal berkaitan CPR.

“Jadi sekiranya berlaku apa-apa, mereka boleh bertindak segera untuk membantu mangsa sebelum mendapatkan bantuan daripada pihak perubatan,” jelasnya.

PENGARAH Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Ishak menyarankan agar masyarakat ambil tahu tentang ilmu CPR yang sangat bermanfaat.

Dr. Ishak juga menekankan soal ibadah ketika sakit yang wajib dilaksanakan sebagai orang Islam.

“Menyentuh tentang ibadah untuk pesakit pula, ini sangat penting kerana mereka perlu tahu melakukan ibadah seperti solat ketika sakit. Iyalah solat wajib dilaksanakan walaupun dalam keadaan sakit,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas