Artikel

Tourism Malaysia hargai jasa pengamal media

DATUK Zainuddin Abdul Wahab (tiga dari kanan)
- Diterbit 1 Disember 2022 2:47 AM MYT

SUKAR dinafikan peranan media dalam menyebar luas dan membuat liputan untuk setiap program anjuran Tourism Malaysia secara tidak langsung telah meningkatkan promosi dan pemasarannya ke peringkat antarabangsa.

Bahkan, kerjasama dan sokongan pengamal media menulis serta mempromosikan secara menyeluruh terhadap aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan khususnya sepanjang tempoh dua tahun berdepan pandemik COVID-19 harus dibanggakan dan dihargai.

Justeru itu, Tourism Malaysia menganjurkan Majlis Apresiasi Media 2022 pada 24 November (Khamis) lalu bagi meraikan sumbangan dan jasa baik pengamal media dalam menyokong, menjayakan dan mempromosikan aktiviti pelancongan kepada masyarakat dalam mahupun luar negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata media telah memainkan peranan yang sangat besar dalam meningkatkan promosi dan pemasaran Tourism Malaysia sepanjang 50 tahun kewujudannya menerusi Kempen Malaysia Truly Asia bagi pasaran antarabangsa dan Cuti-Cuti Malaysia untuk pasaran domestik.

“Sejak dilancarkan pada tahun 1999, kempen ini telah memenangi lebih 25 anugerah di peringkat antarabangsa sekali gus berjaya melonjakkan ketibaan pelancong asing ke Malaysia.

“Setakat September lalu juga, Malaysia telah merekodkan ketibaan seramai lebih 5.5 juta pelancong dan Tourism Malaysia optimis untuk mencapai sasaran 9.2 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM26.8 bilion menjelang hujung tahun ini.

“Malah, berdasarkan statistik Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), pelancongan antarabangsa terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan industri yang kukuh apabila kembali merekodkan ketibaan pelancong mencecah paras 57 peratus sewaktu pra-pandemik untuk tujuh bulan pertama tahun ini,” jelasnya.

Jelaslah, peranan media dalam menyebarluaskan program dan aktiviti Tourism Malaysia sedikit sebanyak membantu memulihkan dan meningkatkan industri pelancongan Malaysia ke persada dunia sekali gus menjadikan negara ini sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan.

BARISAN tetamu kehormat bergambar bersama Juara Program Tourism Malaysia Media Explore Race 2022.
DATUK Saraya Arbi (lima dari kiri) bergambar bersama rakan penaja Program TOMER dan MAM Tourism Malaysia 2022.

Terdahulu, bertemakan gold and black, majlis yang diadakan di Magica Hall, Quill City Mall itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi.

Pada majlis tersebut, para tetamu bukan sahaja boleh memenangi cabutan bertuah malah turut dihiburkan dengan persembahan kabaret dan medley lagu-lagu kempen promosi Tourism Malaysia di bawah koordinasi Artis Tari Istana Budaya selain penampilan persembahan artis jemputan popular Ernie Zakri dan Khai Bahar.

PERSEMBAHAN menu makanan oleh Datuk Chef Ismail Ahmad.

Turut diadakan ialah majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Tourism Malaysia Media Explore Race (TOMER) 2022 yang melibatkan penyertaan 88 media tempatan dan antarabangsa mengeksplorasi sejauh lebih 300 kilometer (KM) dari Putrajaya ke Gopeng, Perak pada 23 November lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas