Artikel

Kuala Lumpur sebuah kehidupan

KUALA Lumpur adalah ruang terbaik untuk memahami dan memberi erti pada setiap relung hidup yang dilalui.
- Diterbit 6 Januari 2023 4:06 AM MYT

PADA 2 Januari 1984 saya menjejak kaki kali kedua di Kuala Lumpur untuk melayari kerjaya sebagai wartawan. Pada 2 Januari lalu genaplah 39 tahun menumpang hidup di kota yang penuh dengan warna-warni ini.

Memang tidak terjangka boleh bertahan begitu lama di Kuala Lumpur yang mulanya adalah suatu yang amat asing. Tidak pernah terlintas dalam mimpi sekalipun untuk menjadi sebahagian penghuni kota yang dulunya ditinjau dari jauh sahaja.

Menetap dan bekerja di Kuala Lumpur suatu yang hampir mustahil. Lagi pula tidak ada sandaran yang memaksa saya ke Kuala Lumpur. Apa lagi dengan latar akademik yang sangat rendah, mana mungkin Kuala Lumpur menerima kehadiran sebagai penghuni baharunya.

Inilah yang memenuhi ruang fikir saya suatu ketika dulu – Kuala Lumpur hanya untuk yang kaya dan bijaksana. Seperti yang banyak dititipkan dalam filem dan drama, orang kampung seperti saya tidak ada ruang hidup di kota. Akan tetapi hakikatnya berbeza sekali.

Kuala Lumpur berdiri dengan nilai-nilai yang kontras antara satu dengan lain – kaya dan miskin. Baik dan buruk – Hitam dan putih. Di tengah-tengahnya adalah realiti hidup yang siapa sahaja berpeluang mendapatnya sekalipun diuji dan diduga terlalu besar.

Sudah tentu tanpa bersandarkan kerjaya kewartawanan, tidak ada sesuatu yang mendesak saya meneroka kehidupan di Kuala Lumpur. Bukan sahaja untuk mencari rezeki malah berkampung dan beranak pinak di kota ini. Kini kampung yang jauh di mata hanya dihubung untaian kenangan. Kuala Lumpur tempat berdiri ketika ini adalah hakikat kehidupan.

Tentunya tanpa memilih kerjaya kewartawanan, agak mustahil saya boleh singgah begitu lama di kota ini. Hanya di sini kerjaya yang dipilih itu boleh bercambah dan teruji oleh persekitaran dan perubahan zaman. Banyak perihal manusia boleh dijadikan ilham karya kewartawanan.

Sekalipun hampir empat dekad menyusur segenap urat nadi kota yang paling sibuk di negara ini, terasa semacam belum cukup mengenali karakternya. Kuala Lumpur sangat unik dan penuh rahsia. Misterinya sukar dibaca. Karakternya sangat abstrak – sukar untuk difahami kecuali ikut berada di tengah-tengah pergulatan manusianya.

Kuala Lumpur adalah sebuah kehidupan yang membentangkan hitam dan putih sekali gus. Terpulang pada penghuninya memilih kehidupan yang diingini. Putih atau hitam. Yang memilih hitam pun boleh menikmati kehidupan dan mewah yang luar biasa.

Dengan kompas adab dan pesan-pesan ayah dan bonda yang tidak pernah luput tarikh, tidak mudah untuk kita menjadi perantau yang tersesat di jalanan. Sekalipun tidak semua ayah dan bonda kita itu orang yang bijak pandai, akan tetapi mereka arif membaca hidup.

Kuala Lumpur bukan hanya ada satu jalan, akan tetapi berbagai-bagai jalan. Sama seperti lorong dan jalan yang berselirat, begitulah juga lorong hidup untuk dipilih. Hal ini kerana tidak semua jalan itu membawa kita menemui sebuah kehidupan.

Sebagai wartawan yang tidak pernah bersara, Kuala Lumpur umpama lubuk yang didiami banyak ikan. Semua ikan-ikan itu tidak pernah kehabisan sekalipun dipukat berkali-kali. Malah semakin bercambah dan membiak. Demikianlah analogi Kuala Lumpur.

Masa yang sama ini juga sebuah kota yang sangat mengilhamkan. Ia memberi peluang untuk saya mengangkat kisah-kisah manusia yang pelbagai warna berpusar dan hilir mudik di perutnya. Perihal manusia lain kerap kali pula memberi isyarat supaya kita lebih banyak mengamati dan tidak gopoh dan melulu.

Di Kuala Lumpur ada banyak orang kaya yang tahap ‘gila’. Maknanya sangat kaya hingga tahap akal kita yang marhaen ini seperti tidak percaya ada orang seperti itu. Hakikatnya memang ada dan banyak pula yang menyumbang kembali kepada yang susah dan memerlukan.

Miskin di Kuala Lumpur kalau tidak kena gayanya membawa pada melarat – hilang akal untuk mencari jalan pulang. Rumah hanya di atas kotak kertas dan menumpang di kaki-kaki lima untuk melelapkan mata. Walaupun begitu ini sangat mengilhamkan saya. Sangat mendesak untuk melihat melampaui yang terzahir akan cabaran golongan marginal di kota sebesar Kuala Lumpur.

Berfikir bukanlah satu yang merugikan. Daripada kisah-kisah suka dan duka mereka, kita yang rajin berfikir pasti mengakui bahawa setiap kehidupan itu sebenarnya bukan mudah. Kalau miskin dikatakan penghalang sebuah kehidupan, kaya juga boleh mengalih kita daripada kehidupan.

Yang miskin teralih atau terpesong daripada kehidupan kerana tidak mampu, akan tetapi yang kaya dan terlebih kaya juga tidak terkecuali. Kekayaan lebih mudah membawa manusia tergelincir daripada makna hidup yang sebenarnya. Kehidupan adalah sebuah perkongsian dengan manusia lain termasuk juga yang miskin.

Malah kehidupan yang sebenarnya bukan untuk diri sendiri sahaja, akan tetapi ada bahagian-bahagiannya untuk orang lain. Tidak kiralah kaya atau miskin, menerima dan memberi itu menjadi prasyarat dalam setiap hidup bermasyarakat.

Ini membenarkan kata-kata Hamka, kalau sekadar hidup, kera di hutan juga hidup. Maknanya dalam kehidupan yang sebenar bukanlah sekadar hidup, akan tetapi hidup untuk berjasa – tidak kira kecil atau besar sumbangannya.

Maka hidup bukanlah sekadar ikutan daripada orang lain. Hidup adalah suatu yang kita bina dan percaya daripada pengalaman dan pesan-pesan berharga orang tua-tua. Oleh hal yang demikian hidup tidaklah sekadar tidak mati kelaparan. Akan tetapi hidup mesti berjasa kepada orang lain.

Kalau kita tergolong dalam kelompok manusia yang suka mengamati, Kuala Lumpur adalah ruang terbaik untuk memahami dan memberi erti pada setiap relung hidup yang dilalui. Bukan semua yang marhaen atau gelandangan tidak menyumbang sebagai bahan renungan. Hidup atau takdir yang diuji kepada orang lain adalah cermin pandang belakang untuk melihat jejak hidup sendiri.

Begitu juga dengan pantulan hidup mereka yang kaya raya, semuanya membentangkan renungan kehidupan yang amat bernilai. Hal ini kerana tidak semua yang kaya itu mampu hidup dalam erti kehidupan yang sebenarnya. Banyak juga yang cemburu dengan kehidupan yang pada pandangan kita serba kekurangan tetapi bahagia.

Kuala Lumpur juga membentangkan banyak lorong untuk menjadi kaya-raya. Akan tetapi tidak semua lorong itu memberikan kehidupan yang dicita-citakan. Banyak lorong untuk mendapat kehidupan yang kaya dan mewah termasuk yang tidak selari dengan undangundang dan moral.

Maka tidaklah perlu gundah kerana tidak menggapai kehidupan yang terpantul di layar anganangan kita. Malah tidak perlu berasa rendah diri dengan kekurangan kerana yang kurang itu barangkali kelebihan di sisi orang lain. Kelebihan dan kekurangan itu adalah sepasang sayap yang membawa kita terbang merentas garis yang dipisahkan darjat dan kedudukan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas