Berita

Misi Gila: Kewibawaan PM Anwar tempa kejayaan

HUBUNGAN erat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Mesir, Abdel Fatah Al-Sisi berjaya melaksanakan misi tanpa pengetahuan Israel.
- Diterbit 19 April 2024 12:26 PM MYT

KEWIBAWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin sebuah misi gila menyeludup keluar keluarga Aktivis Palestin di Gaza, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman ke Malaysia dengan selamat tidak wajar dipertikaikan mana-mana pihak.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berkata sekiranya diperhatikan beberapa misi kemanusiaan sejak mula tercetusnya peperangan sebelum ini, pihak berkepentingan tersebut perlu mendapatkan kebenaran Israel sebelum ia boleh dilaksanakan di Palestin.

“Sebagai contoh, misi air drop  atau penghantaran makanan menerusi udara yang dilaksanakan oleh beberapa buah negara sebelum ini termasuklah Jordan, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Indonesia, mereka memerlukan keizinan daripada Israel kerana negara haram itu mengawal 100 peratus ruang udara, darat dan keseluruahn Gaza.

“Jadi setiap misi itu termasuklah misi kemanusiaan perlu mendapatkan lampu hijau daripada Israel, malah dua bulan lepas, mertua kepada Perdana Menteri Scotland, Humza Yousaf terperangkap dan mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar tiga minggu sebelum ia dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan selepas mendapat keizinan daripada Tel Aviv,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Azmi, terdapat fakta yang menarik apabila keluarga aktivis Malaysia itu berjaya di bawa keluar menerusi misi khas tanpa pengetahuan Israel.

“Semua sudah sedia maklum kawasan tersebut amat berbahaya dan ia merupakan medan perang, namun operasi itu berjaya dilaksanakan kerana faktor pertolongan daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi.

“Disini hubungan baik antara Presiden Mesir dan Perdana Menteri itu membuahkan kejayaan dan membawa keluar aktivis Malaysia dan keluarganya.

“Jadi dalam hal ini kita tidak boleh memandang remeh personal contact atau kewibawaan Perdana Menteri dalam menentukan kejayaan ini. Tanpa keberanian Perdana Menteri, maka tidak mungkin operasi ini akan dilaksanakan lebih-lebih lagi ia berjaya dan merupakan faktor yang begitu penting sekali,” katanya.

Ketika mengulas mengenai peranan yang dilaksanakan Perdana Menteri yang lantang menyatakan pembelaan kepada Palestin dan diletakkan sebaris dengan nama besar pemimpin Arab seperti bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Azmi berkata beliau tidak mencurigai kedudukan Anwar di arena antarabangsa terutama dalam kalangan pemimpin negara-negara Islam.

“Sememangnya Perdana Menteri Malaysia sekarang dan sebelum ini juga lantang menyokong Palestin. Malah dalam konteks Iran juga, Datuk Seri Anwar lantang menyokong negara berkenaan dalam aspek mempertahankan negaranya,” katanya.

Jelas Azmi, jika hendak dibandingkan Perdana Menteri dengan Presiden Erdogan, kedua-duanya memang lantang menyuarakan hak dan kepentingan Palestin namun terdapat perbezaan disebabkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan negara haram berkenaan.

“Bezanya Malaysia dan Turkiye, mereka masih mempunyai hubungan dagang dan diplomatik dengan Israel. Kita langsung tidak mempunyai apa jua hubungan sama ada diplomatik mahupun perdagangan dengan Israel.

“Dan apabila kita menyatakan sokongan terhadap Palestin, ia adalah padu seperti istilah yang digunakan oleh Presiden AS, Joseph Biden iaitu ironclad,” katanya.

Tegas Azmi, disini dapat dilihat perbezaan pemimpin Malaysia dengan Turkiye mahupun dengan negara-negara Arab dalam soal menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin yang telah berlanjutan hampir 70 tahun lalu.

“Malaysia tidak akan berselindung dan jika kita menyatakan sokongan, ia padu serta tidak berbelah bahagi malah ia 100 peratus dan tiada permainan di sebalik tabir seperti yang banyak berlaku dalam kalangan pemimpin negara Arab,” katanya.

Justeru itu, tegas Azmi sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri ini perlu dihayati dan difahami oleh rakyat Malaysia khususnya dalam isu melibatkan tindakan Iran kerana tidak banyak pemimpin negara Arab yang menyatakan sokongan secara langsung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas