Berita

Dipengaruhi retorik politik punca hina raja-Raja Melayu

- Diterbit 19 April 2024 12:18 PM MYT

MUDAH dipengaruhi sentimen dan retorik politik menjadi punca segelintir rakyat negara ini masih tidak memahami konsep Raja Berpelembagaan yang menyebabkan penghinaan dan sindiran terhadap Institusi tersebut.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata perkara berkenaan yang kini menjadi trend dalam kalangan penyokong parti politik tertentu diburukkan dengan mainan sentimen politik keterlaluan di media sosial yang menjadikan keadaan lebih teruk dan mendapat respon aktif dari pengguna media massa.

“Naratif anti Islam yang dimainkan ini berpunca dari kenyataan ahli-ahli politik dan pempengaruh media sosial yang memuat naik kenyataan yang semberono dan bersifat provokasi untuk menggugat kedudukan Islam dalam negara.

“Naratif ini semakin galak selepas selesai dua Pilihanraya Persekutuan dan Negeri oleh segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya yang tidak memihak pihak mereka. Oleh sebab itu usaha-usaha memainkan sentimen dan naratif anti Islam ini galak dan sekiranya tidak dikawal akan menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau menggesa supaya kerajaan perlu lebih bertegas dan menguatkuasakan perundangan sedia ada dalam Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta undang-undang lain yang relevan.

“Ia bagi memastikan penghinaan terhadap institusi beraja dikenakan tindakan selanjutnya dan negara ini mempunyai mekanisme perundangan yang sedia ada namun masih lemah dalam aspek penguatkuasaan, pendakwaan dan sabitan hukuman terhadap mereka yang melanggar undang-undang berkaitan,” katanya.

Ikmal Hisham menegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong merupakan nasihat terbaik kepada ahli-ahli politik dalam mengurangkan suhu ketegangan kaum dan agama selepas insiden kalimah Allah di stokin seperti yang tular baru-baru ini.

“Pada pandangan saya ketidakpedulian terhadap titah baginda adalah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Ahli-ahli politik seharusnya berfikir jauh dan tidak hanya memikirkan survival politik peribadi semata-mata dalam melihat titah baginda sebagai satu nasihat bagi memastikan negara aman dan rakyat berasa selamat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya perundangan sedia ada dikuatkuasakan dengan lebih tegas serta kajian dan pindaan semula terhadap undang-undang berkaitan jenayah siber dapat dilihat dan dikaji semula bagi memastikan isu 3R (agama, kaum, Raja) di media sosial dapat dikuatkuasakan.

“Agensi seperti polis dan pihak Pendakwa Jabatan Peguam Negara boleh menjalinkan kerjasama yang lebih baik dan aktif dalam memastikan kes-kes membabitkan 3R dapat dibawa ke mahkamah dan proses keadilan berjalan sewajarnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas