Selebriti

Mira Filzah, sedekad kekal relevan

- Diterbit 22 Disember 2023 11:50 AM MYT

MEMILIKI bakat dan mempunyai rupa paras yang manis, meletakkan pelakon Mira Filzah kekal diminati meskipun sudah berumah tangga. Bukan sahaja semakin laris dalam lakonan, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 30, juga masih aktif dalam mengacara program-program di televisyen.

Bintang Paling Popular ABPBH32 ini percaya, jika tidak berhenti untuk berusaha, pasti ada jalan meskipun ramai pendatang baharu mula menguasai industri seni.

“Sepanjang saya dalam industri ini, macam-macam saya lalui. Tidak mudah sebenarnya untuk bertapak dalam bidang ini jika tidak betul-betul tahan mental dan fizikal.

“Saya sendiri bermula dari bawah seperti menghadiri sesi uji bakat dan bermula dengan watak kecil. Alhamdulillah, dengan kepercayaan pihak produksi, saya mula mencipta nama.

“Apa yang saya nak tekankan di sini, iya, bukan mudah untuk membina nama, tetapi lebih sukar untuk mengekalkan prestasi dan populariti yang teleh dibina,” katanya yang genap sedekad dalam industri seni.

Pelakon drama Sweet Dreams dan Adellea Sofea ini mengaku untuk berjaya dan bertahan dalam industri perlu bersandarkan tiga faktor.

“Kalau ditanya bagaimana mahu bertahan lama, sebenarnya saya pun perlu belajar banyak sangat lagi. Terutamanya daripada senior-senior atau yang lebih berpengalaman.

“Bagi saya apa yang penting adalah adanya usaha, disiplin yang tinggi dan harus punya minat yang mendalam. Perkara utama sudah tentu kena ada minat yang bukan sekadar ala-ala, tapi memang betul-betul berminat. Jiwa dan raga tau!

“Minat itu sangat penting kerana inilah yang menguatkan keinginan kita untuk terus mencuba dan pergi lebih jauh dalam industri. Sebab itu kalau kita tengok, pelakon-pelakon hebat dengan lakonan ibarat darah daging. Memang takkan pernah terpisah. Begitulah perumpamaannya.

“Kalau dah ada faktor ini, apa pun yang berlaku dia tetap akan teruskan tanpa menoleh ke belakang lagi. Jatuhlah berkali-kali pun, dia tetap akan bangkit semula,” ujarnya.

Mira juga menegaskan, minat akan mendorong seseorang itu berusaha dan berdisiplin dalam apa yang dilakukan. Tiada istilah nak putus asa, tak boleh buat sebab ada halangan atau berfikiran tiada rezeki.

“Rezeki Allah yang tentukan, tapi kenalah berusaha kuat. Dalam berusaha kena ada disiplin. Jangan lupa, bertawakal selalu. Sentiasa mohon kepada-Nya,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Lebar sayap ke Indonesia

Impian Mira Filzah untuk mengembangkan bakat lakonan di Indonesia tercapai apabila membintangi filem terbaharu arahan Hanung Bramantyo berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.

Apa yang membuatkan peminat cukup teruja apabila Mira digandingkan bersama pelakon, Refal Hady.

“Sejujurnya, saya berasa sangat teruja, terharu dan bersyukur dapat terbabit di dalam filem ini kerana sememangnya sudah menjadi impian saya sejak dahulu lagi untuk melebarkan sayap ke Indonesia.

“Jadi, apabila dipilih untuk terbabit di dalam filem ini dan bekerjasama dengan sutradara tersohor Indonesia, Hanung Bramantyo, satu kebanggaan buat saya. Bukan itu sahaja, berlakon dengan pelakon hebat Refal Hady adalah satu pengalaman menarik. Refal seorang yang warm, easy going, senang bekerjasama dan sangat tenang orangnya,” katanya.

Filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu adalah adaptasi novel terlaris karya Phutut EA turut dibintangi oleh pelakon Refal Hady, Nadya Arina dan Carissa Perusset.

“Cinta Tak Pernah Tepat Waktu ini adalah cerita relaks dan easy to watch. Semua orang pun boleh tengok. Tak ada stres sangat dalam filem ni. Saya bawa watak sebagai, Dr Sarah yang merupakan warga Malaysia yang bekerja di Jogjakarta, Indonesia kerana mahu menjalankan satu penyelidikan.

“Di sana, dia bertemu dengan ibu Daku (lakonan Refal Hady) dan mereka mula rapat. Dalam membawa watak Sarah, pengarah memang nak saya bercakap dalam bahasa Melayu kita. Namun ada sedikit bahasa Indonesia.

“Sebenarnya ini sedikit sebanyak memudahkan saya kerana tak perlu bercakap bahasa Indonesia sepenuhnya,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas