Agama

Lapan kumpulan marhaban ke separuh akhir Pentas Marhaban… “Rugi markah tinggi tapi tak masuk final”

- Diterbit 24 Disember 2023 8:00 PM MYT

SANGKAAN penonton meleset sama sekali apabila bukan enam tapi lapan kumpulan layak untuk ke pusingan separuh akhir Pentas Marhaban 2023.

Enam kumpulan dipilih daripada pusingan kalah mati setiap enam minggu iaitu Sinar Marhaban, Interacksee, Soutun Nadwah, Raudhatul Ashwaq, Al Maqari’ dan An Ni’matul Uzma.

Manakala, dua lagi kumpulan marhaban iaitu Qalbun Hadi dan Al-Muhtadin dipilih berdasarkan kualiti persembahan dan markah tertinggi sepanjang enam minggu bersiaran.

Kata penerbit program Pentas Marhaban yang bersiaran di TV Al-Hijrah, Nurul Ain Mohamed, kejutan untuk memasukkan lapan kumpulan marhaban ke pusingan separuh akhir telah diputuskan lebih awal.

“Memang selepas enam minggu bersiaran, pihak produksi telah merancang lebih awal walaupun pada asalnya tiada penambahan peserta ke separuh akhir.

“Namun, ada episod menyaksikan kedua-dua kumpulan marhaban sama-sama kuat dan biarpun disingkirkan, markah mereka masih tinggi secara keseluruhan,” ujarnya.

KUMPULAN An Ni’matul Uzma

 

SELAWAT Buskers
JURI-juri Pentas Marhaban 2023

Keputusan itu disambut baik oleh barisan juri tetap Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis Gambus serta juri jemputan pada minggu keenam, Ustaz Tirmizi Ali.

“Logik untuk produksi membuat keputusan yang memeranjatkan. Ia sangat berbaloi dan rugi kalau ada kumpulan yang memiliki markah tinggi tapi tak berjaya masuk.

“Secara tidak langsung ia akan membuka semula ruang untuk kembali bersaing dan pastinya pusingan akan datang akan sangat sengit,” kata juri.

Nasihat juri-juri lagi, peluang harus digunakan sebaik mungkin dan tidak boleh berada di kedudukan selesa.

“Kuasai pentas betul-betul seolah-olah nak hiburkan orang. Tingkatkan kualiti suara dan persembahan biar ada kemuncak dan penonton puas.

“Dapatkan ilmu pengetahuan daripada guru-guru, jangan anggap Pentas Marhaban satu pertandingan sebaliknya jadikan ia sebagai medan untuk menimba ilmu.

“Yang kalah dapat masuk semula, gunakan peluang diberi. Yang menang mingguan pula jangan selesa,” demikian nasihat para juri.

Minggu keenam menyaksikan kumpulan An Ni’matul Uzma menumpaskan Selawat Buskers dan menerima hadiah wang tunai RM2,500.

Pada pusingan final pula, pemenang tempat pertama dan kedua secara keseluruhan bakal menerima RM50,000 dan RM25,000.

Pentas Marhaban bersiaran pada setiap Sabtu pada jam 9 malam di saluran TV AlHijrah. Selain Tilmiz Fahmi, program ini juga dihoskan oleh Shamsul Ghau Ghau. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas