Berita

TH pastikan keselesaan jemaah, sedia penginapan berhampiran Masjid Nabawi

- Diterbit 8 Mei 2024 3:35 PM MYT

DALAM usaha  memastikan keselesaan dan kemudahan jemaah haji musim 1445H/2024, Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan hotel penginapan yang berdekatan dengan Masjid Nabawi dengan jarak antara 100 hingga 150 meter.

Pemilihan Hotel Movenpick dan Hotel Al-Sajja untuk penginapan di Zon Satu dan Hotel Emaar Royal di Zon Dua, dilakukan bagi memastikan jemaah haji terutamanya yang telah berusia mudah berulang alik ke masjid untuk melakukan ibadah.

Pengurus Maktab Zon Dua di Hotel Emaar Royal Imran Mohammad Khayat berkata dalam menyantuni para jemaah haji negara pihak TH sentiasa meletakkan kebajikan dan kemudahan sebagai keutamaan.

“Di Pusat Pengurusan Zon Dua iaitu Hotel Emaar Royal, kita menjangkakan bahawa kumpulan jemaah pertama akan tiba di hotel pada 9 Mei ini. Hotel ini mampu memuatkan 3,000 jemaah dalam satu-satu masa.

“Insya-Allah pihak pengurusan zon sedang melakukan usaha terbaik untuk memastikan keselamatan jemaah dan dapat melakukan ziarah,” katanya dalam sidang media bersama petugas media baru-baru ini.

Beliau berkata antara perkhidmatan disediakan pusat pengurusan zon termasuk memberikan perkhidmatan membawa jemaah haji yang tiba sama ada dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammed Bin Abdulaziz di sini mahupun terminal Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah untuk melaksanakan program yang telah disusun oleh TH.

Antaranya ziarah luar di tempat bersejarah dan ziarah di dalam Masjid Nabawi dengan jemaah haji dibawa untuk menziarah makam Rasulullah SAW dan ziarah Raudah, namun bergantung kepada kebenaran Kementerian Haji Arab Saudi.

Beliau berkata TH sentiasa berhubung dengan Kementerian Haji untuk mendapatkan kebenaran jemaah haji Malaysia melakukan ziarah serta perkembangan dari semasa ke semasa berhubung permohonan yang dilakukan.

Selain itu, pihak pengurusan zon turut menyediakan kerusi roda kepada jemaah yang menghadapi masalah bergerak sendiri untuk ziarah ke masjid.

Setiap zon juga menyediakan petugas kebajikan dan kesihatan yang diketuai oleh seorang doktor pakar untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada jemaah selain pembimbing ibadah haji TH. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas