Selebriti

Usah terlalu ghairah cipta kontroversi

- Diterbit 22 Disember 2023 11:40 AM MYT

PELAKON yang semakin aktif dalam dunia perniagaan Fendy Bakry menganggap gimik atau kontroversi seseorang artis itu hanya membantu menaikkan populariti untuk sementara waktu.

Biarpun kontroversi membuatkan mereka lebih popular dan dikenali, namun bagi Fendy atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri, peminat sekarang lebih bijak menilai.

“Bagi saya kontroversi atau gimik untuk terus dikenali adalah satu perkara yang tidak dituntut dalam industri. Apa yang perlu, adab itu lebih utama. Kemudian disusuli dengan ilmu. Kriteria sebeginilah yang akan memandu anak seni untuk maju lebih jauh dalam industri.

“Gimik atau kontroversi ni sekejap sahaja, kemudian hilang dari radar. Maka bermula episod di mana mencipta kontroversi menjadi tabiat untuk terus meraih perhatian dan populariti.

“Jadi macam-macamlah yang dibuat untuk raih perhatian. Kalau terlalu ghairah, bimbang bakat yang ada tidak digilap kerana asyik nak cari kontroversi,” katanya.

Menurut Fendy lagi, ramai artis yang kekal relevan atau malar hijau disebabkan perkara yang baik-baik.

“Apabila seseorang artis membawa satu pengaruh yang baik, ia akan kekal lebih lama dan sentiasa relevan. Tengok saja Zamarul Hisham dan Alif Satar.

“Selain berbakat, mereka sentiasa menjadi contoh dan ikutan masyarakat untuk melakukan kebaikan. Ini bermakna, artis juga menjadi sumber inspirasi sehingga kekal mekar dalam ingatan meskipun ramai pendatang baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fendy menafikan dakwaan mengatakan dia merajuk dengan dunia lakonan sehingga -lebih selesa menjalankan perniagaan.

“Tak pernah pula saya nak merajuk, malah saya bersyukur kerana dunia lakonanlah saya dikenali sehingga ke hari ini. Saya tidak lupa itu cuma, saya perlu merancang masa depan. Dalam berlakon tu, saya usahakan perniagaan yang bermula dari kecil.

“Bisnes saya ini bukanlah besar sangat pun. Biasalah kita masih baru belajar. Jadi banyak lagi yang perlu dituntut. Saya jalankan bisnes berkaitan khidmat motivasi, team building, soft skill, pengurusan perniagaan dan juga beberapa kemahiran kepada para peserta dari sektor awam mahupun swasta.

“Selain itu, saya berkolaborasi dengan Nadia Veterinary Clinic di tiga cawangan beliau. Klinik ini bukan hanya menjurus kepada kucing sahaja tetapi juga haiwan peliharaan yang lain dan ternakan ruminan,” ujarnya.

Fendy Bakry yang merupakan finalis Hero Remaja bersama Fattah Amin dan Syafiq Kyle pernah popular menerusi drama seperti Mr Grey, Kerana Syurga Bukan Percuma, Kan Ku Kejar Cinta Kamu dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas