Fokus

Mia Sara teruja berlakon dalam teater Melayu

|||||
- Diterbit 8 September 2023 10:15 AM MYT

PERTAMA kali melibatkan diri dalam pementasan teater Melayu pastinya memberi pengalaman yang berbeza buat pelakon baru, Mia Sara Shauki.

Mia yang juga merupakan anak sulung kepada pelakon dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki berkata dia tidak pernah terfikir akan melibatkan diri dalam teater Melayu memandangkan dia tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

“Kali pertama saya tonton teater Melayu adalah naskhah Le Jeu La Julia ini walaupun masa tu masih tak fasih bahasa Melayu tetapi saya dapat rasa dan faham perasaan watak Julia yang penuh dengan emosi.

“Apabila saya nampak sesi uji bakat bagi watak tersebut di bawah arahan Azizi Nazril, terus saya rasa ia merupakan naskhah Melayu pertama yang saya ingin bawa,” katanya kepada Wilayahku.

Mia Sara berkata dirinya melakukan persiapan rapi bagi memahami watak Julia agar setiap mesej yang ingin disampaikan dapat difahami dengan mudah oleh penonton.

“Teater dan filem sangat berlainan di mana kalau filem kita boleh berhenti dan lakonkan semula jika terdapat kesalahan tapi untuk teater ia adalah secara langsung jadi saya perlu betul-betul bersedia untuk bawa watak yang diberikan.

“Apabila tahu yang saya dapat watak Julia ini memang saya tak tinggal skrip ke mana sahaja saya pergi selain sebuah kamus untuk membantu saya mencari maksud setiap perkataan yang tidak difahami.

“Selain itu, saya turut membuat kajian dan banyak membaca tentang sejarah atau ilmu pengetahuan yang dilontarkan oleh Julia dalam babak ketika berdebat bersama Fadlun. Paling menarik, saya berpeluang berjumpa dengan pelakon yang membawa watak Julia ketika pertama kali naskhah ini dipersembahkan pada tahun 2012. Melalui itu juga saya belajar memahami setiap perasaan dan fikiran yang perlu dibawa oleh watak ini,” ujarnya.

Bercerita mengenai watak Julia, Mia berkata ia sangat berbeza dengan karakter dirinya sendiri di mana dia perlu menjadi seorang pelajar yang rajin, baik dan bijak.

“Antara babak yang sukar buat saya adalah ketika saya perlu berdebat dengan Fadlun mengenai ketuhanan serta kemanusiaan di mana saya perlu betul-betul mendalami maksud kedua-dua perkataan tersebut untuk disampaikan kepada penonton,” jelasnya pemahaman tentang keseluruhan skrip membantu dirinya menjiwai watak.

Dia juga teruja dan berpuas hati dapat selepas menjayakan watak tersebut dan mengakui tempoh pementasan itu merupakan satu momen yang akan diingati olehnya.

“Le Jeu La Julia merupakan teater ketiga buat saya untuk tahun ini, jadi mungkin projek saya selepas ini adalah untuk kembali berlakon filem atau drama,” ujarnya berlakon teater memberi satu kepuasan lain buat dirinya berbanding filem memandangkan melalui pementasan teater, pelakon menerima tenaga daripada penonton yang tidak dapat dirasai ketika berlakon filem. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas