Fokus

Le Jeu la Julia: Bukan sekadar cinta, sarat erti kehidupan

FADLUN (kiri), Julia (tengah), Jalut (kanan).
- Diterbit 8 September 2023 10:00 AM MYT

PERSEMBAHAN teater di Malaysia mempunyai pengikut serta peminat yang tersendiri. Naskhah yang dipersembahkan terdiri daripada pelbagai genre dan jarang sekali menghampakan. Malah, semakin ramai anak muda hari ini yang melibatkan diri dalam seni tersebut dan menjadi pelapis penggiat seni teater yang terdahulu.

Menyedari, betapa perlunya seni ini diperluaskan seterusnya mahsyur di peringkat antarabangsa dan menjadi medan menampilkan budaya bangsa, maka penggiat teater berlumba-lumba untuk mempersembahkan naskhah yang hebat.

AZIZI NAZRIL

Tidak terkecuali juga bagi Pengarah teater, Azizi Nazril yang berpendapat seni teater merupakan bidang yang kecil di Malaysia dan masih belum mampu untuk mendominasi sebagai salah satu industri di negara ini.

“Secara jujurnya, teater ini sangat kecil, sudah la kecil ada pecahan pula di bawahnya seperti komuniti illustrator, komuniti teater melayu, orang-orang lama, teater independent dan banyak lagi.

“Namun, saya rasa sebagai generasi muda sudah tiba masanya untuk kita bersatu sebagai contoh komuniti orang lama bergabung dengan yang baharu untuk memantapkan lagi seni teater di Malaysia seterusnya menjadi antara industri yang besar.

“Saya percaya teater itu memanusiakan manusia yang lain, jadi saya harap pihak atasan dapat memandang ke arah kami, membantu menyuarakan karya-karya kami, mendengar suara-suara kami seterusnya memantapkan lagi seni teater di Malaysia,” ujarnya yang mengharapkan nasib komuniti teater yang lain akan turut terbela.

Terbaharu, Acahart Studio turut mementaskan teater indie Le Jeu La Julia yang mengisahkan tiga orang remaja dengan latar belakang berbeza, mereka mempelajari dan mengenal erti persahabatan, cinta dan nilai kerohanian melalui penulisan sajak Sheikh Siti Jenar.

“Tema besar bagi Le Jeu La Julia ini sebenarnya berkenaan cinta di mana maksud cinta itu sendiri adalah besar dan bukan kepada manusia sahaja. Kita juga memasukkan unsur kesufian, sejarah Islam, kerohanian, kemanusiaan, kejiwaan dan sebagainya untuk menyentuh hati masyarakat yang menonton.

“Ia bukan hanya sekadar mengisahkan cinta monyet dalam kalangan pelajar sekolah tetapi mempunyai mesej yang lebih daripada itu,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui selepas pementasan teater Le Jeu La Julia bersempena Program Semarak Merdeka Madani di Dramatis Studio, Sri Rampai pada Ahad.

Le Jeu La Julia menceritakan mengenai Julia, Fadlun dan Jalut yang merupakan pelajar berbeza aliran kelas iaitu Sains, Sastera dan Perdagangan di mana mereka berkenalan antara satu sama lain lalu tersepit di antara persahabatan, perhubungan, pemikiran dan pandangan. Pelbagai isu yang dibahas oleh mereka bertiga merangkumi sejarah, ketamadunan dan sosiopolitik namun, sebuah sajak telah menyatukan mereka bertiga.

“Saya tahu cerita ini mengisahkan tiga sahabat tapi saya tak pernah baca skripnya, selepas kumpulkan maklumat daripada mereka yang pernah menonton Le Jeu La Julia ini, saya senarai pendekkan beberapa pelakon yang bersesuaian dengan watak Fadlun dan Jalut.

Begitu pemilihan Izhar Azree dan Ron Isa dibuat memandangkan mereka mempunyai sifat-sifat yang perlu untuk karakter tersebut dan juga berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang ini.

“Bagi pemilihan watak wanita pula, memandangkan Julia merupakan inti dan jawapan kepada keseluruhan teater ini jadi pemilihan tersebut dilakukan setelah saya membaca keseluruhan skrip. Seterusnya kami adakan open casting untuk memilih pelakon yang tepat di mana membawa kepada pemilihan Mia Sara Shauki,” ujarnya pemilihan pelakon tersebut membuatkannya dapat berjumpa dan berkerja dengan orang baru.

“Bagi saya teater ini mempunyai magisnya tersendiri, ketika sesi latihan yang pertama, pelakon-pelakon telah pun menghafal satu babak, jadi saya sebagai pengarah boleh memberi fokus terhadap penghayatan, detailing watak dan sebagainya.

“Di situ kerja saya jadi mudah tambahan pula dengan krew-krew yang mampu melakukan kerja masing-masing tanpa ada sebarang tekanan jadi saya rasa ia satu magik la untuk naskhah ini,” jelasnya teater kali ini melibatkan seramai 11 orang di bawah satu produksi dan turut mendapat kerjasama daripada pihak Fivekosongtujo, Asterik Anak Seni, Dramatis Studio dan banyak lagi.

Berkongsi mengenai reaksi penonton yang diterima, Azizi yang berpengalaman dalam seni teater sejak kanak-kanak lagi tidak menyangka Le Jeu La Julia menerima sambutan yang sangat menggalakkan meskipun baru pertama kali diadakan di Kuala Lumpur.

“Ramai yang melahirkan rasa tersentuh dengan setiap watak yang ditonjolkan. Mereka menyelami dan turut rasa sedih, geram dan sebagainya seperti mana yang dirasai oleh watak tersebut. Lebih uniknya, ramai yang terkejut kerana pada permulaan mereka menyangka bahawa teater ini hanya berkisarkan cinta monyet semasa zaman remaja namun sebenarnya ada unsur keagamaan dan ilmiah,” ujarnya sangat berpuas hati dengan pementasan tersebut. – WILAYAHKU

ANTARA babak di dalam Teater Le Jeu La Julia.

 

BARISAN produksi yang menjayakan persembahan teater Le Jeu La Julia bergambar bersama tetamu yang menyokong karya mereka.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas