Berita

Mercy Malaysia lancar tabung bantu sokong khidmat kesihatan

MERCY Malaysia menghulurkan bantuan sokongan kesihatan kepada klinik-klinik bagi memastikan ia mempunyai cukup peralatan seperti topeng muka untuk mengekang Covid-19.
- Diterbit 5 April 2020 12:00 AM MYT

KUALA LUMPUR – Mercy Malaysia melancarkan Tabung Pandemik Covid-19 bagi menyokong sistem penjagaan kesihatan yang mengalami tekanan yang teruk berikutan penularan wabak itu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Eksekutifnya, Amran Mahzan berkata, dana itu juga akan membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan keperluan asas golongan terpinggir.

“Kami mengukuhkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan, makan makanan yang sudah dimasak dan penggunaan penutup hidung dan mulut yang betul di klinik bergerak kami untuk pelarian dan pendatang sejak bulan lalu.

“Masyarakat terpinggir ini tidak boleh diketepikan daripada rancangan pembendungan pandemik kerana ia berpotensi menjadi kawasan hot spot virus itu merebak dengan pantas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Amran menambah, Mercy juga telah menyumbangkan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada organisasi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sementara itu, jelas beliau, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu turut bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Yangon, Myanmar bagi menyumbangkan 25,000 topeng muka, 100 botol cecair pembasmi kuman klinikal dan 100 kotak sarung tangan pembedahan kepada Kementerian Kesihatan dan Sukan, Kesatuan Myanmar untuk kesediaan menghadapi Covid-19 di negara itu.

“Para Sukarelawan Perubatan Malaysia juga telah membantu penyediaan saringan kesihatan dan persampelan kepada petugas di KLIA dan Pejabat Kesihatan Daerah yang dikhuatiri terdedah dengan virus ini,” katanya.

Beliau berkata, untuk menyokong inisiatif Mercy Malaysia, sumbangan boleh dibuat melalui www.mercy.org.my atau terus kepada MERCY Humanitarian Fund (5621 7950 4126) atau MERCY Malaysia (CIMB 8000-7929-08) dan semua derma dikecualikan cukai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas