Berita

Jangan maki hamun, halang tugas polis

PASUKAN polis dan ATM mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP. Gambar NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 5 April 2020 7:21 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai dirayu agar memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan terdapat individu yang bertindak menghalang tugas mereka, memaki hamun dan mendatangkan kecederaan kepada anggota polis dengan merempuh sekatan.

Menurutnya, apa yang dilakukan pihak polis adalah demi menjaga keselamatan rakyat negara ini.

“Polis adalah manusia biasa. Kita duduk di rumah satu hari pun terasa berbagai-bagai dalam pemikiran.

“Pihak polis yang buat sekatan jalan raya, berpanas dan berhujan dari pagi sampai malam untuk bantu kita. Jadi, perlu pertimbangan sewajarnya daripada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kebanyakan kes-kes yang dipenjara bukan disebabkan melanggar arahan PKP namun lebih kepada kes lain termasuk menghalang tugas anggota polis tersebut.

Ujar Ismail Sabri, ini menyebabkan mereka didakwa mengikut Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih berat berbanding Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Mod penguatkuasaan berubah dari menasihati kepada tegas dan kini keras.

“Tidak boleh bayangkan niat baik pihak polis menyelamatkan nyawa semuanya dimaki hamun, saya percaya kadang-kadang ada dibuat tindak balas sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai sama ada wajar anggota polis yang bertindak keras dikenakan siasatan, Ismail Sabri menyerahkannya kepada PDRM untuk tindakan lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas