Artikel

Menjadi setinggan di KL

“Rumah setinggan yang kami tumpangi itu berkongsi dinding dengan jiran, sepasang suami isteri yang baru berkahwin....” - Gambar hiasan
- Diterbit 17 Disember 2021 6:01 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

KETIKA saya, Non dan Din hendak bertolak ke Kuala Lumpur suatu pagi pertengahan tahun 1978, seorang kawan berpesan, “Rumah setinggan berselerak di Kuala Lumpur. Sampai sana hang pi cari rumah setinggan. Sewa murah.”

Kami bertiga tidak pernah menjejak kaki di Kuala Lumpur. Paling jauh hanya Taiping. Itupun semasa mengikuti rombongan ketika darjah lima tahun 1971 melawat Zoo Taiping.

Radius pergerakan kami sempit, hanya sekitar Kangar sahaja. Secara tiba-tiba tergerak hati hendak merantau – bukan dekat tetapi Kuala Lumpur.

Keluarga masing-masing sangat keberatan kerana mereka amat faham dunia kami amat kecil.

Tetapi kami menyakinkan boleh menjaga diri kerana tujuan utama untuk mencari pengalaman. Orang lelaki mesti berani berdepan cabaran di tempat orang.

Sebenarnya kami pun cuak hendak ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun dengan sedikit pedoman daripada kawan tentang banyaknya rumah setinggan untuk ditumpangi, kami menjadi agak yakin. Setidak-tidaknya rumah setinggan menyelesaikan beban sewa yang tinggi.

Akhirnya kami terdampar di Kampung Kerinchi. Itu antara perkampungan setinggan yang besar. Ada Bukit A, Bukit B dan Bukit C.

Dari tempat yang kami berdiri petang hari kedua di Kuala Lumpur itu nampak tersergam bangunan Angkasapuri di atas bukit.

Tengok Angkasapuri pun sudah gembira, kalau masuk Angkasapuri tidak tahu apa akan terjadi.

Kami berada di situ selepas mendapat kerja di kilang dapur minyak jenama Butterfly di Seksyen 13 Petaling Jaya.

Tuan Megat yang temu duga kami beritahu, “Esok datang kerja pukul 9 pagi.” Kami keluar dari kawasan industri yang sibuk itu dengan gembira untuk mencari rumah setinggan.

Selepas mendapat kerja, semangat menjadi semakin tinggi. Kami hanya perlu mencari rumah sewa.

Selepas mendapat rumah sewa, kami anggap sudah tidak ada masalah lagi. Maka menyusurlah kami di lorong-lorong kecil yang boleh dilalui oleh motor dan basikal sahaja.

Akhirnya gagal. Tidak ada rumah untuk disewa. Kalau ada sekalipun ternyata kami tidak mampu membayar cengkeram dan sewa untuk sebulan. Rata-ratanya sewa RM150 sebulan.

Kalau dicampur cengkeram sudah RM300. Setiap seorang daripada kami membawa tidak sampai RM100.

Macam hendak menangis pun ada. Kerja sudah dapat dengan gaji RM10 sehari. Tetapi rumah tidak ada. Mentari semakin condong, malam semakin hampir dan kalau masih tidak ada rumah sewa, esok tidak boleh mula bekerja.

Kemudian berhenti lelah sambil meneguk air sirap di sebuah gerai yang penuh dengan buruh kontrak. Kami membahagi lebihan pulut kacau (wajid) yang dibekalkan ibu.

Lebihan daripada malam sebelumnya ketika bermalam di Masjid Ar Rahmah di tepi pintu masuk Universiti Malaya.

Ketika mengunyah pulut kacau yang keras dan kering petang itu, ingatan segera melayang ke kampung halaman. Teringat ibu dan ayah.

Belum pernah saya terpisah dan terputus jauh daripada lingkungan mereka berdua. Petang itu saya dipisahkan oleh jarak lebih 500 kilometer, di satu daerah yang sangat asing.

Di gerai itu kami dipertemukan dengan Abang Man, salah seorang daripada buruh binaan di situ.

Kami menceritakan semuanya kepada Abang Man dan dia meneliti wajah kami seorang demi seorang.

Kemudian pandangannya jatuh pada beg pakaian dan kotak dapur minyak saya.

Ketika itu terdengar azan asar daripada pembesar suara. Maknanya ada surau atau masjid untuk bermalam.

Walaupun malam sebelumnya kami dihalau kerana tidur di kaki lima Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Masjid Negara, mungkin surau di kampung setinggan tidak begitu.

Abang Man mengajak kami tinggal di rumah sewa. Non dan Din yang terjelepok macam hilang nyawa itu tiba-tiba terjegil dan tersenyum. Kata Bang Man yang berusia lingkungan 40-an, duduk sahaja tidak usah bayar apa-apa.

“Aku duduk dengan kawan aku. Ada ruang lagi untuk kamu. Tapi kena janji, jangan buat bising dan ganggu jiran,” kata Abang Man. Kami menganggukangguk kerana bukan jenis seperti itu.

Rumah setinggan yang kami tumpangi itu berkongsi dinding dengan jiran, sepasang suami isteri yang baru berkahwin.

“Jalan perlahan, nanti ganggu jiran,” kata Abang Man. Tetapi mimpi saya selalu terutus apabila jiran berjalan ke sana ke sini waktu tengah malam kerana kami berkongsi papan yang sama.

Kami mengalami pengalaman baharu mandi di kampung setinggan. Untuk lebih kurang 30 keluarga di situ hanya ada satu paip air awam.

Di situlah untuk mandi, cuci pakaian atau menadah air untuk dibawa ke rumah.

Saya terpaksa bangun mandi sebelum pukul lima pagi, itu pun sudah ada dua tiga orang tengah mandi.

Di paip itu muat untuk tiga atau empat orang mandi sekali gus. Tidak kira lelaki wanita, tua atau muda. Kalau pukul 6 pagi, terlalu ramai beratur untuk mandi.

Tetapi apa yang hendak dikata, rumah setinggan adalah fenomena. Rumah pangsa pula sangat sedikit, kalau tidak silap hanya flat di Jalan Perkeliling dan Razak Mansion di Jalan Sungai Besi.

Itu antara flat kos rendah paling awal di Kuala Lumpur. Selebihnya rumah setinggan atau sering juga disebut ‘Sting Garden’.

Tidak ada pilihan selain rumah setinggan. Berpanas ketika tengah hari dan keadaan yang sangat sesak terpaksa diharungi dengan tabah.

Berkongsi paip dan tandas terpaksa diterima sebagai adat bersetinggan.

Maka tidak hairanlah kalau 23 peratus atau 243,000 warga Kuala Lumpur waktu itu adalah setinggan.

Purata setinggan adalah mereka yang berpendapatan di bawah RM250 sebulan. Gaji kami di kilang dapur minyak itu hanya sekitar RM250 dan tergolong sebagai miskin di Kuala Lumpur.

Sudah tentu amat menyeksakan kalau saya seorang ketua keluarga kerana sewa rumah RM150 sebulan.

Kuala Lmpur pun waktu itu belum membangun. Tempat membeli-belah yang paling popular ialah Batu Road Supermarket dekat Chow Kit. Sebut Batu Road Supermarket satu Kuala Lumpur akan tahu.

Kami pernah merayau-rayau di pasar raya yang paling besar itu, macam Suria KLCC atau Pavillion ketika ini. Itulah pengalaman berharga menjadi pemula hidup kendiri.

Kuala Lumpur memberi pengalaman baharu tentang susah senang kehidupan orang lain, di tempat yang lain.

Tahun 1984 ketika saya datang kali kedua ke Kuala Lumpur dan bekerja di Utusan Melayu, kawan saya Non sudah dua tahun lebih awal bekerja sebagai anggota polis di Balai Polis Sungai Besi, Din pula menjadi tentera dan hanya sesekali pulang bercuti di kampung.

Tiga sekawan bekas penghuni rumah setinggan Kampung Kerinchi membawa haluan dalam kerjaya masing-masing. – WILAYAHKU – KU SEMAN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas