Program OTATA sasar 10,000 orang dalami Al-Quran

Program OTATA sasar 10,000 orang dalami Al-Quran

SEPERTI slogan dilaungkan, Hidup bersama Al Quran, pengasas program OTATA (Online Tadarus Tadabbur) di bawah syarikat Tanzeelworks, Ustaz Amar Samsuri, 31, juga mahu lebih ramai pandai mengaji dan memahami pengertian setiap bacaan dalam kalam suci itu.

Malah menjelang tahun 2022, syarikat itu mensasarkan 10,000 orang dapat menjadikan Al-Quran sebagai bekalan dan ‘teman hidup’.

PENGASAS program OTATA (Online Tadarus Tadabbur) di bawah syarikat Tanzeelworks, Ustaz Amar Samsuri.

Ditubuhkan sejak tahun 2019, syarikat yang berpengkalan di Kota Tinggi, Johor itu tidak pernah patah semangat untuk mengajak lebih ramai ‘mendekati’ dan hidup bersama Al-Quran.

“Inisiatif OTATA yang dicetuskan tahun lalu ketika dunia diserang wabak pandemik COVID-19 setakat ini berjaya membantu hampir 1000 peserta yang memerlukan bimbingan ilmu Al-Quran daripada segi bacaan, tajwid dan kefahamannya sampai ke hati.

“Misi OTATA sendiri sebenarnya adalah membantu orang ramai menjadikan bacaan Al-Quran sebagai rutin utama dalam kehidupan seharian, di samping dapat menambah baik kualiti bacaan tajwid yang betul.

“Paling magis dengan izin-Nya, OTATA turut membantu orang ramai menemui penyelesaian masalah dan konflik kehidupan melalui kalam suci itu. Insya-Allah kami mahu ramai lagi turut serta. Sasaran 10,000 orang tahun depan itu juga bukan satu yang mustahil. Insya-Allah,” katanya.

PROGRAM OTATA bimbing masyarakat jadikan Al-Quran sebagai ‘teman hidup’.

Kata Ustaz Amar Samsuri yang juga merupakan guru quran bertauliah yang berbekal lebih lapan tahun pengalaman mengajar ilmu Al-Quran, OTATA sebenarnya bertunjangkan tiga asas utama.

Sesi OTATA dikendalikan Ustaz Amar Samsuri secara bergilir dengan guru OTATA, Ustazah Raihana Arbain.

“Pertama, ialah mahu membimbing mereka secara istiqamah untuk mengaji setiap hari. Kebiasaannya waktu mengaji ini dibuat secara virtual menggunakan aplikasi Zoom selama sejam dari jam 7 hingga 8 pagi. Sasaran kita beri dalam tempoh lapan bulan untuk khatam Al-Quran.

“Cara mengaji dilaksanakan adalah secara bertadarus ayat demi ayat berjemaah seperti kaedah saya belajar dengan guru quran dulu. Tugas saya dan Ustazah Raihana adalah membimbing mereka di mana harus berhenti (waqaf) dan sambung bacaan (ibtida’) selain menekankan hukum hakam tajwid dalam bacaan Quran.

“Keduanya, dalam sesi sejam itu turut akan diselit topik tumpuan tajwid dalam bacaan yang ditekankan setiap hari. Ketiga ialah dapat membimbing lebih memahami ayat pilihan untuk panduan kehidupan seharian,” katanya.

Secara purata, OTATA menarik minat sekitar 80 peratus golongan wanita dan selebihnya lelaki di antara lingkungan umur 24 hingga 40 tahun ke atas.

Ketika ini sesi OTATA itu sudah memasuki musim keempat dan dijangka berakhir Mac depan. Dan OTATA musim kelima bakal dilancarkan dan dibuka setelah majlis khatam OTATA musim keempat.

“Memang pada awalnya apabila sesi kita bermula awal pagi, ada peserta berdepan pelbagai cabaran dan kekangan lain termasuk waktu bekerja. Namun, usah risau kerana peserta juga turut diberi akses menonton semula rakaman mengaji dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita sangat memahami bahawa bukan mudah nak istiqamah dalam hal ini. Malah ada yang sudah pandai mengaji tapi masih tak berjaya menjadikan ia rutin atau tabiat harian.

“Namun kalau mengaji sudah lancar & betul, semakin seronok mengaji beramai ramai ini. Malah sempat saya buat kompilasi kisah 50 peserta yang hidup mereka berubah, rezeki bertambah dan hidup lebih berkat dengan menjadikan Al-Quran teras hidup disamping amalan ibadah lain juga turut bertambah baik” katanya.

Bagaimanapun, Ustaz Amar Samsuri berkata usah bimbang kerana sebelum melangkah ke tahap terakhir, OTATA, mereka terlebih dahulu melalui dua peringkat ‘mukadimah’.

“Jangan risau, kita anjurkan program edisi khas Kuasai Asas Ngaji selama sejam. Program ini mendedahkan kepada peserta pelbagai formula mudah dan ringkas untuk menguasai asas bacaan Quran dalam suasana yang santai dan menghiburkan.

Kewujudan program ini adalah kerana Kita faham ada pelbagai tahap bacaan mengaji bagi peserta yang hadir. Ada yang ingat asas tapi mudah lupa, dan ada yang baru nak bermula untuk mengaji.

Melalui program ini, maka peserta akan rasa lebih bersedia ke fasa mengaji dalam circle OTATA.

“Untuk fasa pertama ini kita berikan percuma pendaftaran jika mendaftar seramai tiga orang. Hal ini kerana Kita nak galakkan lebih ramai turut serta. Kalau mendaftar seorang diri, kita kenakan yuran komitmen serendah RM30.

“Seterusnya fasa kedua ialah Praktis Ngaji OTATA atau singkatannya disebut PRANO yang kami hadiah khas untuk peserta program Kuasai Asas Ngaji secara percuma selama sebulan.

“Peserta juga akan dapat hadiah e-buku Nak Baiki Al Fatihah secara percuma. Bagaimanapun jika peserta tamat sebulan kelas PRANO percuma ini, mereka boleh teruskan belajar dengan bayaran yuran serendah RM30 sebulan. Untuk turut serta boleh tekan pautan ini http://bit.ly/AsasNgaji5

USTAZ Amar Samsuri mahu masyarakat bukan setakat tahu membaca Al-Quran, tetapi juga boleh menghayati pengertian Kalam suci itu.

Tambah Ustaz Amar Samsuri lagi, secara total sejak ditubuhkan, menerusi pelbagai acara dianjurkan sama ada secara atas talian atau fizikal, mereka sudah membantu lebih 16,897 peserta.

Jumlah itu merangkumi di seluruh Malaysia dari dalam dan luar negara untuk membaca dan memahami Al-Quran. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )