Artikel

Diplomasi Teqball: Pateri hubungan Kuala Lumpur-Budapest

DUTA Besar Hungary, Dr Petra Ponevàcs-Pana (empat dari kanan) bergambar bersama pemenang-pemenang pelbagai kategori Kejohanan Teqball Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 17 Disember 2021 6:24 AM MYT

SEJARAH hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Hungary bakal mencecah usia 52 tahun pada 29 Disember. Meskipun dua negara ini terpisah oleh faktor geografi dan ribuan lautan, jalinan persahabatan di antara dua negara ini akan terus ditingkatkan seiring dengan perkembangan zaman.

Sukan sememangnya boleh menyatukan bangsa. Melalui sukan, kerjasama dan diplomasi di antara dua negara yang bermusuh boleh disatukan seperti Diplomasi Ping Pong yang menyatukan dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China.

Meskipun hubungan di antara Malaysia dan Hungary berada di dalam keadaan yang baik, kerjasama bilateral antara dua negara ini mesti diperkukuhkan terutama di dalam bidang perdagangan dan ekonomi. Pada masa ini, Hungary merupakan rakan dagang ke-51 terbesar Malaysia dan destinasi eksport ke-44 terbesar. Untuk tempoh Januari-Jun 2021, dagangan antara Malaysia dan Hungary berjumlah lebih US$400 juta.

PENGARAH Jabatan Sukan, Kesenian dan Pelancongan DBKL, Khairul Azmir Ahmad menunjukkan bola teqball yang diserahkan oleh Duta Besar Hungary, Dr Petra Ponevàcs-Pana selepas Kejohanan Teqball Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Hungary turut memberikan biasiswa kepada 40 pelajar Malaysia untuk belajar di Institusi Pengajian Tinggi di negara itu beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan perdagangan dan pelaburan, pertukaran maklumat dan pendidikan.

Hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Hungary yang terjalin pada 1969, telah mendorong kepada penubuhan Kedutaan Malaysia di Budapest pada 1993 dan Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur pula dibuka secara rasmi dua tahun sebelum itu, iaitu tahun 1991.

BUKTI SEJARAH HUBUNGAN DUA HALA

DALAM usaha untuk mencari bukti sejarah hubungan dua hala di Budapest, sebuah pasukan berpengkalan di Perpustakaan Negara Szechenyi di bawah pengawasan ahli sejarah Peter Antalffy, menapis banyak dokumen dan ‘khazanah’ sejarah yang dikatakan mempunyai lebih 13 juta dokumen, buku dan rekod.

Menariknya, pasukan tersebut menemui beberapa manuskrip pengembara Hungary, Janos Xantus (1825-1894) mengenai perjalanannya ke Malaysia pada tahun 1870, yang mencatatkan pemerhatian terhadap tradisi, budaya dan cara hidup, serta penerangan tentang flora dan fauna.

Xantus dikatakan telah mengembara ke Asia Tenggara termasuk British Malaya – hari ini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia – dan Negeri Borneo Sabah dan Sarawak. Tulisan Xantus memberikan pandangan yang menarik tentang kemajuan perdagangan di rantau ini, serta kewujudan bersama secara aman kumpulan etnik yang pelbagai di British Malaya dan negeri Borneo, pada masa itu. Manuskripnya telah memperkenalkan Malaysia kepada khalayak Hungary sebagai tempat eksotik, yang kekal sehingga abad ke-20.

Pada pertengahan 1970-an, Malaysia telah dipopularkan lagi melalui siri TV Itali popular Sandokan, mengisahkan lanun fiksyen lewat abad ke-19 yang dikenali di seluruh Laut China Selatan sebagai ‘Harimau Malaysia’. Siri ini telah dialih suara ke bahasa Hungary dan diingati sehingga hari ini dan ia telah memberi inspirasi kepada ramai warga Hungary untuk melancong ke Malaysia, terutamanya ke Sabah dan Sarawak.

PERKEMBANGAN sukan teqball di negara ini amat membanggakan serta mendapat sokongan daripada negara Hungary untuk membantu pembangunan sukan ini.

TEQBALL DI MALAYSIA 

SELAIN daripada hubungan diplomatik, kedua-dua buah negara turut menjalin hubungan persahabatan melalui sukan baharu yang dipelopori Hungary pada tahun 2012 yang dikenali sebagai teqball. Ia merupakan gabungan ping pong dan sepak takraw dan telah mula diperkenalkan kepada peminat sukan tanah air pada tahun 2018 dan menjadi antara sukan yang paling cepat berkembang di dunia.

Bagi meraikan peminat sukan di negara ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan Kejohanan Teqball Piala Datuk Bandar baru-baru sekali gus mengukir sejarah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama terlibat dalam penganjuran sukan ini di Malaysia.

DR PETRA PONEVÀCS-PANA

Duta Besar Hungary ke Malaysia, Puan Yang Terutama, Dr Petra Ponevàcs-Pana menyifatkan penganjuran Kejohanan Teqball Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai bukti bahawa hubungan dua negara ini sememangnya istimewa dan akrab.

“Saya amat berbangga sebagai Duta Hungary di Malaysia kerana mempunyai persatuan teqball yang pertama di sini dan juga di Asia serta Malaysia kini berada pada kedudukan pertama dalam membangunkan sukan ini di seluruh negara dan seterusnya menjadikan sukan ini mula diminati di negara ini,” katanya kepada Wilayahku selepas Majlis Penutup Kejohanan Teqball di Ibu Negara baru-baru ini.

“Sebagai Duta, saya gembira kerana berjaya mempopularkan sukan ini dalam kalangan penggiat sukan di negara ini. Malah selain membina hubungan politik antara kedua-dua negara, hubungan ekonomi dan perdagangan perlu ditingkatkan selepas kita menderita ekoran wabak COVID-19.

“Justeru, melalui hubungan ini sama ada diplomatik, ekonomi dan sukan, Malaysia dan Hungary perlu memperkukuh antara satu sama lain dan menjadikan ia istimewa,” ujarnya.

Tambah Petra, tugasnya sebagai Duta adalah untuk mempromosikan negaranya termasuklah berkaitan dengan budaya dan sukan serta tidak menolak kemungkinan untuk mempromosikan Malaysia di Hungary.

“Kewajipan saya adalah untuk mempromosikan negara saya di Malaysia, tetapi saya menganggap di sisi lain adalah kewajipan saya untuk mempromosikan Malaysia di Hungary kerana tanpa itu saya tidak boleh berjaya sebaliknya.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian sukan ini di Malaysia dan apabila teqball akan dipertandingkan di peringkat Olimpik, saya percaya ia akan membawa kejayaan besar untuk pemain Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas