Berita

Kereta Safiq Rahim pula dipecah guna tukul

- Diterbit 8 Mei 2024 1:13 AM MYT

PEMAIN bola sepak terkenal Safiq Rahim menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab apabila cermin belakang kereta miliknya dipecah menggunakan tukul, dalam kejadian di Jalan Seri Gelam, Petaling Jaya, menghala Pantai Lido, Johor Bahru malam tadi.

Menurut perkongsiannya di akaun Instagram, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10.05 malam ketika beliau selesai mengambil barang di Pusat Latihan JDT Seri Gelam.

Dalam laporan polis yang dimuat naik, ujarnya, keretanya dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua individu tidak dikenali.

Kemudian pembonceng mengeluarkan sebatang tukul besi sebelum memukul cermin belakang keretanya jenis Honda City.

Di ruangan kapsyen, pemain kelab Johor Darul Takzim itu turut berkata, zamannya perlu berjaga-jaga ekoran beberapa siri ancaman terhadap pemain bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini.

“Tidak sangka saya pula kena serang berdekatan Pusat Latihan JDT. Zaman kami kena berjaga-jaga,” tulisnya.

Jumaat lalu, pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 25, cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di sebuah apartmen.

Kemudian, pemain bola Selangor FC, Faisal Halim pula disahkan melecur tahap empat terkena simbahan asid, di pusat beli-belah Petaling Jaya, pada Isnin. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas