Berita

MENCABAR ADRENALIN DENGAN EMPAT FILEM SERAM

||||
- Diterbit 31 Oktober 2021 2:00 AM MYT

FILEM seram antara genre yang ada peminatnya tersendiri. Mencabar adrenalin dengan degupan jantung yang kuat sepanjang menyaksikan filem seram antara satu kepuasan bagi mereka yang meminati genre ini. Seram komedi juga semakin mendapat tempat dalam hati penggemar filem di mana elemen kelakar diselitkan bagi memberi ruang buat penonton lebih menikmati filem tersebut. Sempena bulan Oktober yang digelar ‘bulan berhantu’, Wilayahku kongsikan empat filem buat penggemar filem seram di luar sana.

 

#1 The Medium

Pengarah: Banjong Pisanthanakun
Pelakon: Narilya Gulmongkolpech, Sawanee Utoomma

BERLATARKAN kawasan perkampungan daif di Isan, Thailand, penduduknya mempercayai saka keturunan bomoh yang membawa tuah akan diwarisi turun temurun dalam ahli keluarga. Filem Thai-Korea ini menampilkan budaya mistik dan spiritual di Thailand. Penduduk setempat Isan percaya bahawa roh bukan hanya roh orang mati. Semangat dalam kepercayaan rakyat Isan juga bermakna segala-galanya seperti rumah, pokok, gunung, hutan, ke sawah padi dipercayai mempunyai roh. Adegan tegang dan mencengkam berjaya menjadikan filem The Medium penuh dengan seram. Bagi penggemar filem seram boleh la menonton The Medium tapi ingat ye filem ini hanya untuk tontonan 18 tahun ke atas sahaja.

 

#2 Makmum

Pengarah: Hadrah Daeng Ratu
Pelakon: Titi Kamal, Ali Syakieb, Tissa Biani

FILEM dibuka dengan tiga remaja yang tidak dibenarkan pulang ke rumah sewaktu cuti sekolah kerana gred yang tidak baik. Mereka yang tinggal mula mendapat gangguan ketika melakukan ibadah solat. Setiap kali solat, selalu ada ‘makmum’ yang mengikuti mereka. Rupa-rupanya ada kisah dendam lama yang disembunyikan oleh pengetua asal dan penjaga asrama puteri itu. Juga, menceritakan tentang seorang penjaga rumah mayat bernama Rini yang dihalau keluar dari rumahnya lalu memilih untuk bekerja di asrama puteri tersebut. Rini bertekad membantu ketiga anak tersebut, tanpa menyedari nyawanya sendiri juga terancam. Jangan lupa sediakan bantal untuk menutup muka apabila menonton filem ini kerana ramai yang bersetuju filem ini sangat seram.

 

#3 Ghost Coins

Pengarah: Tiwa Moeithaisong
Pelakon: Thanayong Wongtrakul, Rhatha Phongam

GHOST COINS mengisahkan dua orang pelajar bernama Ton dan Jack yang popular dengan video yang dibuat mereka iaitu mencabar kepercayaan tahyul. Suatu hari, mereka merancang untuk melakukan ‘prank’ terhadap Tor, adik kepada Ton bagi membalas dendam selepas Tor melukai hati Bee yang merupakan gadis kesayangan Jack. Mereka merancang mahu menggari Tor dengan tulang mayat di tanah perkuburan. Namun, mereka terjumpa mayat yang mana di dalam mulutnya terdapat duit syiling. Tor yang tamak telah mengambil duit tersebut dan secara tiba-tiba mayat tersebut mula bergerak. Mereka yang telah sesat di dalam hutan tersebut terpaksa mencari jalan keluar.

 

#4 Ada Hantu

Pengarah: Hairul Azreen
Pelakon: Zahiril Adzim, Hairul Azreen

MENGISAHKAN tentang Aliff, ‘Youtuber’ dan skeptikal terhadap semua perkara ghaib, yang mencabar rakan-rakannya untuk bermalam di sebuah rumah lama, terbengkalai – dikhabarkan pernah dimiliki oleh jeneral tentera Jepun yang telah menyeksa dan membunuh semua orang di sekelilingnya dengan kejam – untuk membuktikan bahawa hantu itu tidak wujud. Ketika malam menjelang dan Aliff kehilangan rakan-rakannya, dia segera menyedari bahawa rumah itu tidak seperti dibayangkan. Filem seram komedi ini agak tipikal pada permulaannya namun dengan plot twist yang tidak dijangka di penghujung filem menjadikan ia sedikit berbeza dengan filem Melayu seram komedi yang lain. Ada Hantu sangat sesuai ditonton bersama keluarga kerana ianya tidak mempunyai elemen kejam atau seram melampau. Elemen komedi yang diselitkan juga menjadi. Kepada yang belum tonton, jangan lupa untuk saksikan. Bak kata orang ‘jom support local’. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas