Berita

Fahami konsep doa mustajab

DATUK Dr Mohd Asri Zainul Abidin
- Diterbit 1 November 2021 3:11 AM MYT

BAGI umat Islam, doa merupakan senjata, sumber kekuatan serta harapan untuk menggapai impian,  kejayaan mahupun kebahagiaan di dunia dan akhirat. Doa juga kunci penyelesaian bagi setiap kekeliruan dan persoalan di dalam kehidupan seseorang.

Erti sebenar doa adalah permintaan, permohonan atau rayuan seseorang kepada Allah SWT yang diucapkan dengan penuh keikhlasan, kerendahan hati dan bersungguh-sungguh terhadap apa yang dimohon.

Menjelaskan mengenai konsep itu, Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, doa adalah ibadah dan akidah yang dipohon oleh seorang hamba kepada Penciptanya.

“Hadis daripada Abu Hurairah R.A daripada Nabi SAW, diriwayatkan Imam Tarmizi menyebut bahawa, tidak ada satu amalan yang lebih mulia di sisi Allah SWT lebih daripada doa.

“Doa yang baik adalah doa dalam keadaan tenang, penuh jiwa kehambaan dan di mana ketika jiwa kita dekat dengan Allah SWT doa itu akan mustajab tidak kira dalam apa jua bahasa yang diungkapkan.

“Setiap apa yang diminta disimpan di sisi Allah. Berdoalah dengan penuh kedambaan dan bersungguh-sungguh kerana Allah itu Ya Karim (Maha Pemurah) dan Ya Sami’ (Maha Mendengar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengendalikan Program Bicara Tokoh Ilmuan Agama dengan tajuk Doa Mustajab Menurut Sunnah yang berlangsung secara maya menerusi Facebook Kementerian Wilayah
Persekutuan, pada Selasa.

CIRI DOA YANG MUSTAJAB

Setiap orang tentu mengharapkan doanya dimakbulkan Allah SWT, oleh itu, Mohd  Asri turut berkongsi doa yang termakbul dalam beberapa situasi.

“Pertama adalah doa orang yang dizalimi. Jika mereka berdoa, ia bagaikan panah malam yang terpancar kepada seseorang. Sekalipun dia melakukan kejahatan, jika dia menadah tangan, merintih dan berkata Ya Rabb maka termakbullah doa itu.

“Kedua, doa ketika senang. Sering kita dengar, seseorang akan berdoa jika ditimpa musibah dan masalah. Tidakkah anda tahu, doa ketika senang juga dimustajabkan. Sebagai contoh, memohon kepada Allah untuk dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan dan kebahagian di dunia dan akhirat.

“Ketiga, doa ibu bapa kepada anak-anaknya. Sebagai ibu bapa, kita harus banyakkan berdoa untuk
anak-anak supaya mereka menjadi anak yang berbakti kepada agama, orang tua dan negara. Jangan sekali-kali mengucapkan perkara yang tidak elok atau kasar kepada anak-anak, kerana perkataan yang
keluar dari mulut ibu bapa adalah doa dan ia merupakan salah satu doa mustajab.

“Keempat, doa anak berbakti kepada ibu bapa. Dari Abu Hurairah R.A, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di syurga, lalu ia bertanya, ‘Dari mana aku memperoleh darjat ini?’. Allah SWT berfirman, ‘Dengan permohonan ampun anakmu untukmu’. (HR. Ahmad, sanadnya dinyatakan shahih oleh Ibnu Katsir),” jelasnya mengenai doa mustajab.

Tambahnya lagi, doa ketika sedang sakit, semasa sujud, doa sepertiga malam dan doa ketika musafir juga antara doa-doa yang dimakbulkan.

Bagaimanapun, beliau turut memberitahu, terdapat dua doa yang tidak mustajab iaitu doa orang yang ingin melakukan dosa dan doa orang yang mahu memutuskan hubungan silaturahim.

“Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasullullah SAW pernah bersabda (hadis riwayat Al-Tarmizi): Ketahuilah kamu bahawa allah tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai dan lagi alpa iaitu seseorang itu tidak yakin dengan doanya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas