Berita

Pengecualian duti hiburan, cukai pelancongan bantu industri pulih

Gambar: FreeMalaysiaToday
- Diterbit 30 Oktober 2021 5:47 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) menyambut baik Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia – Makmur Sejahtera” yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, meskipun KWP tidak menerima jumlah peruntukan yang diharapkan dari kerajaan persekutuan, namun kami tetap terus komited meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“KWP menerima peruntukan sebanyak RM414,209,900 bagi tujuan pembangunan di Wilayah Persekutuan yang merangkumi projek Public Private Partnership (PPP) dan Private Finance Initiative (PFI), membaik pulih jalan-jalan dan jambatan-jambatan, baik pulih sungai, sewerage non-river (SWR) dan River of Life (ROL), selain pembangunan di Labuan dan Putrajaya.

“Manakala RM256,601,400 pula diperuntukkan sebagai peruntukan mengurus termasuklah bagi tujuan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar, perancangan dan pembangunan, pengurusan, selain bagi program khusus untuk penyelenggaraan bas Putrajaya, diskaun tambang feri Labuan dan naik taraf Dataran Pahlawan Negara.

“KWP juga mengucapkan terima kasih apabila kerajaan persekutuan bersedia memperuntukkan sebanyak RM65 juta untuk membina sebuah sekolah menengah agama di Labuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di Wilayah Persekutuan akan membantu industri tersebut kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Manakala pengecualian cukai pelancongan yang dilanjutkan kepada 31 Disember ini turut dapat membantu memulihkan industri pelancongan di ketiga-tiga wilayah,” katanya.

Shahidan berkata, pihaknya turut memuji program Community Feeding kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di beberapa negeri termasuklah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Program ini akan menyediakan makanan tambahan lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

“Program ini akan memastikan kanak-kanak miskin bandar tidak akan kelaparan dan dapat meringankan beban keluarga yang terkesan,” katanya.

Ujar Shahidan, pihaknya akan memastikan peruntukan yang disediakan itu bakal memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan.

“KWP dan agensi-agensi di bawahnya akan menggalas amanah yang telah diberikan dengan mendukung iltizam Keluarga Malaysia, Inklusif dan Mampan,” ujarnya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas