“Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban… Bersatu Hati” – Ito Blues Gang

“Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban… Bersatu Hati” – Ito Blues Gang

DEMI mengangkat perpaduan kaum di Malaysia, kumpulan Pitahati dan Ito berkolaborasi menyanyikan semula lagu Khatulistiwa.

Lirik lagu Khatulistiwa nyanyian asal Ito bersama kumpulan Blues Gang digubah semula untuk disesuaikan dengan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

Ito dan Pitahati serasi bekerjasama dengan berbekalkan semangat yang sama iaitu impian mereka mahu menyatu padukan masyarakat dengan seni muzik.

“Pitahati dan saya bersetuju untuk mengubah bahagian lirik Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban, bersatu hati… ia lebih sempurna.

“Elemen perpaduan pelbagai kaum dalam lagu ini harus ditekankan kerana inilah teras dalam membina masyarakat yang aman damai.

“Saya amat berbesar hati dan berharap lagu versi baharu ini boleh memberi semangat buat kali kedua kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar Ito Blues Gang yang teruja menghasilkan karya Khatulistiwa bersi baharu ini bersama Pitahati.

Dalam masa yang sama, salah seorang anggota Pitahati iaitu Ilham mengaku tidak terlalu mengubah lagu yang sudah tersedia malar segar dalam masyarakat Malaysia.

“Waktu kami cover sebelum ni pun kami tak nak hilangkan keaslian rasa dalam lagu, dan itulah yang paling penting.

“Selain mahu terus menyeru agar masyarakat sentiasa mementingkan perpaduan berbilang kaum, usaha merakamkan semula lagu Khatulistiwa ini juga adalah satu penghormatah daripada Pitahati kepada Blues Gang”, jelas Ilham Pitahati yang berharap lagu ini terus digemari ramai.

“Lagu Khatulistiwa ini sudah menjadi siulan dari dulu lagi. Malah ramai yang serasi dengan muzik lagu ini.

“Apa yang kami harapkan adalah agar generasi baharu boleh menghayati muzik dan lirik lagu ini yang mengajak kita semua rakyat Malaysia sentiasa bersatu hati,” tambahnya lagi.

Pembikinan video muzik lagu Khatulistiwa ini mengambil masa hampir 3 hari apabila Ito dan Pitahati menjalani penggambaran di kawasan-kawasan santai rakyat berbilang kaum di Perak.

Antara kawasan yang dipilih adalah Old Town Ipoh, Concubine Lane, Stesen Keretapi, Pasar Loken, Padang Ipoh, Restoran New Hollywood, Super Kinta, Stesen Bas Medan Kid, dan sempat juga singgah ke Sarang Art Hub dan Tanjung Malim.

Perjalanan ini amat bermakna apabila memperlihatkan dua generasi yang berbeza iaitu Pitahati dan Ito Blues Gang bekerjasama dengan penuh komitmen.

Selain bekerja, Ito juga tidak kering mencurahkan nasihat dan pengalaman kepada semua.

Sedikit info tentang lagu Khatulistiwa, lagu daripada kugiran lagenda ‘rock blues’ tanah air iaitu Blues Gang ini dikenali ramai sejak tahun 1983.

Lagu yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu kini disusun kembali muzik dan liriknya mengikut peredaran masa dan zaman. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )