Berita

Masih ramai ingkar PKP, 828 orang lagi ditangkap

PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini.
- Diterbit 30 Mac 2020 8:23 AM MYT

PUTRAJAYA – Masih ramai tidak mengambil serius soal ancaman wabak Covid-19 apabila mereka sanggup  ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan seramai 828 individu ditangkap semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi sekatan jalan raya dan rondaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kalau dilihat tangkapan semakin meningkat menunjukkan bahawa pihak polis mengambil tindakan lebih tegas berbanding sebelumnya.

“Sasaran kita bukan hendak tambahkan tangkapan tetapi kurangkan. Semakin banyak tangkapan setiap hari bermakna masih ramai rakyat kita tidak patuh kepada arahan dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Ismail Sabri berkata, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 1,520 sekatan jalan raya dan memeriksa 257,287 buah kenderaan.

“Sekatan di tol juga akan ditingkatkan kepada 114 plaza tol di seluruh negara berbanding 65 plaza tol semalam.

“Sehingga semalam jumlah keseluruhan anggota bertugas daripada PDRM, ATM dan Rela adalah seramai 67,774,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas