Berita

Enam insentif khas khusus untuk Warga Labuan

- Diterbit 30 Mac 2020 8:13 AM MYT

PUTRAJAYA – Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 2020 baru-baru ini, warga Labuan bakal menikmati faedah tambahan di bawah inisiatif Wilayah Cakna Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, antara inisiatif yang diterima adalah pengecualian sewa bagi penghuni di perumahan awam milik Perbadanan Labuan (PL) selama enam bulan bermula Mac hingga Ogos.

Jelas beliau, manfaat tersebut melibatkan 546 keluarga dengan kos keseluruhan RM933,210 iaitu bayaran sewa rumah bermula RM150 hingga RM650 sebulan mengikut kategori.

“Selain itu, seramai 774 penjaja dan peniaga kecil berlesen termasuk peniaga Pasar Sentral Labuan (UTC), pasar malam, pasar tani, medan selera dan lot-lot kedai milik PL turut dikecualikan bayaran sewa atau berniaga secara percuma untuk tempoh yang sama dengan kos keseluruhan adalah lebih RM1 juta.

“Bagi 1,300 penjaja dan peniaga kecil pula, mereka diberi bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara ‘one-off’. Kos keseluruhan bagi bantuan sara hidup ini adalah RM650,000.

“Sementara itu, 600 kit bantuan makanan, kebajikan dan kesihatan yang berjumlah RM50,000 akan diberikan kepada warga Labuan yang terkesan seperti nelayan, petani, pengusaha bagang, pengusaha bubu, dan penternak di samping penambahan 1,200 kit bantuan makanan oleh PL dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP) hari ini.

Menurut Annuar, bantuan lain yang diberikan khusus untuk warga Labuan adalah pembelian mesin bantuan pernafasan kepada Hospital Labuan untuk kegunaan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) oleh pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta penyediaan Pusat Kuarantin Tambahan di Institut Latihan Perindustrian Labuan bagi menempatkan pesakit dan individu dalam siasatan (PUI).

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi JKKN WP memaklumkan, pemberian kit bantuan makanan kepada golongan sasar di Kuala Lumpur tidak diagihkan secara fizikal supaya penerima tidak berhimpun.

Katanya, mulai minggu hadapan, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghantar bantuan tersebut dari pintu ke pintu secara tunai sekali gus mengelakkan kebocoran atau ketirisan berlaku. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas