Berita

IMR ambil sampel uji keberkesanan bahan hapus Covid-19

PEGAWAI IMR mengambil sampel melalui kaedah calitan pada operasi disinfeksi di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pagi ini.
- Diterbit 30 Mac 2020 8:59 AM MYT

KUALA LUMPUR – Ekoran berlaku peningkatan jangkitan wabak Covid-19 di beberapa kawasan di ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperluaskan operasi disinfeksi di kawasan Bukit Damansara di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Datin Dr. Noor Akma Shabudin berkata, operasi tersebut dikendalikan jabatannya dengan kerjasama DBKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Syarikat Alam Flora Sdn. Bhd.

“Antara aset yang digunakan adalah satu unit Mist Blower, 14 unit spray canned milik DBKL, satu unit Ultra Low Volume (ULV) 15 unit Spray Canned milik Alam Flora dan sebanyak tujuh buah High Power Jetter dari JBPM

“Hari ini juga, pihak kami menggunakan tiga bahan kimia yang berbeza untuk melihat keberkesanan dan tindak balas bahan dengan virus tersebut,” katanya kepada Wilayahku pada Proses Disinfeksi di Pusat Komuniti Bukit Damansara di sini.

NOOR AKMA

Noor Akma memberitahu, proses ini turut disertai wakil daripada Intitut Kajian dan Perubatan (IMR) untuk mengesan keberkesanan bahan yang digunakan dalam proses disinfeksi.

“Mereka hadir untuk mengambil sampel virus tersebut yang mungkin terdapat di dalam kawasan ini kerana dilaporkan terdapat satu kes Covid-19 di sini.

“Sampel diambil dalam lingkungan 200 meter radius daripada kawasan yang terlibat dengan menggunakan kaedah calitan sebelum dihantar ke makmal bagi menguji keberkesanan bahan itu,” katanya.

Tambahnya, keputusan ujian makmal tersebut dapat diketahui dalam masa kira-kira 24 jam.

“Setelah itu, barulah kita akan mendedahkan bahan kimia yang dapat menghapuskan virus tersebut di permukaan.

Terdahulu lebih 50 petugas terlibat dalam proses disinfeksi tersebut. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas