Berita

Mangsa kebakaran Desa Pandan berpindah ke tapak sementara

MENTERI Wilayah Persekutuan melawat mangsa kebakaran di Desa Pandan pagi tadi
- Diterbit 11 Ogos 2020 4:14 AM MYT

11 peniaga yang menjadi mangsa kebakaran di Desa Pandang pagi Selasa akan dipindahkan ke tapak sementara.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memindahkan peniaga yang terlibat ke tapak sementara yang berhampiran supaya mata pencarian mereka tidak terputus.

“Kedai (yang terlibat kebakaran) akan dibangunkan semula, supaya elok pada mata memandang, lebih bersih dan teratur supaya tidak berlaku lagi kebakaran,”katanya semasa turun padang melawat tapak kebakaran sebentar tadi.

Annuar turut menyerahkan sumbangan RM1000 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebagai bantuan awal untuk peniaga yang kedai mereka terbakar.

Kedai baru yang akan dibangunkan di kawasan ini akan memberi manfaat kepada peniaga dengan penambahbaikan rupa bentuk kedai selain memperkemas tapak penjajaan untuk 68 orang peniaga lagi di kawasan terbabit.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.38 pagi sebelum sepasukan bomba dari Balai Keramat dan Pudu dikerahkan ke lokasi.

Katanya, pihak polis tiba di lokasi pada pukul 5.50 pagi dan api dipadam sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati sembilan buah gerai terbakar 100 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, sebanyak 68 buah gerai berada di kawasan berkenaan, namun api berjaya dikawal sebelum merebak ke gerai lain.

“Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas