Fokus

Teknik imbangi berat badan ideal

Gambar hiasan
- Diterbit 19 April 2024 5:08 PM MYT

BERSENAM merupakan kaedah penting yang boleh dilakukan untuk menstabilkan kembali kadar metabolisma, menurunkan berat badan serta kembali aktif dan cergas seperti biasa.

Jurulatih kecergasan Move Private Fitness Studio, Afifah Zahra Has Tuah, berkata senaman merupakan antara kaedah yang boleh membantu mengimbangi semula pengambilan kalori yang berlebihan dalam badan.

“Menjelang Ramadan, mungkin seseorang itu berjaya mengawal cara pemakanan iaitu ketika bersahur dan berbuka dengan mengurangkan kekerapan makan daripada tiga kali sehari ke dua kali sehari.

“Tetapi apabila Aidilfitri menjelma corak pengambilan makanan sudah berubah dengan mengambil air manis, makan kuih-muih dan juadah raya secara berlebihan, ia sama sekali boleh mendorong pertambahan kalori serta berat badan.

“Justeru itu, aktiviti fizikal seperti senaman kardiovaskular dapat membantu membakar kalori berlebihan dan mencegah penambahan berat badan.

“Ia juga boleh meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal di mana bersenam selepas makan makanan berat dapat membantu mengurangkan tekanan dan keletihan yang mungkin dirasakan selepas makan berlebihan itu.

“Selain itu, ia juga boleh membantu proses pencernaan dengan merangsang peredaran darah dan membantu pemecahan makanan sekali gus meningkatkan tahap tenaga serta emosi seseorang secara keseluruhan,” katanya.

Tambahnya brisk walk adalah antara senaman yang paling mudah untuk semua peringkat usia dan digalakkan untuk melakukannya sebanyak dua kali seminggu.

“Seseorang itu boleh mengalami penurunan tahap kesihatan fizikal secara mendadak jika mengabaikan kepentingan penjagaan kesihatan diri atau senaman.

“Ia termasuk penurunan kekuatan, ketahanan dan keanjalan otot serta peningkatan risiko terhadap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis.

“Dalam masa yang sama, pengabaian terhadap senaman atau riadah ini juga boleh memberi kesan terhadap masalah kesihatan mental seseorang seperti tekanan, kebimbangan dan kemurungan,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas