Fokus

Berkorban demi amanah

- Diterbit 8 April 2024 4:06 PM MYT

LEBARAN yang disambut setahun sekali pastinya merupakan saat yang ditunggu-tunggu untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikannya bersama keluarga dan sanak saudara tersayang.

Namun di sebalik keghairahan untuk menyambutnya terdapat segelintir individu yang terpaksa memendam perasaan rindu dan perlu berjauhan dari keluarga demi menjalankan amanah yang dipikul.

Berkongsi perasaan sayu tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Wanita Kajang, Fauziah Husain berkata tahun ini merupakan tahun keenam dia tidak dapat pulang beraya di kampung.

“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara saya tidak berpeluang untuk pulang beraya kerana tuntutan kerja yang memerlukan saya bersedia di penjara pada hari pertama lebaran.

“Semestinya saya sangat sedih kerana sambutan Aidilfitri lebih bermakna jika di samping keluarga namun itulah pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Mujurlah keluarga juga sangat memahami, saya tetap akan bersama mereka juga tetapi mungkin pada minggu ketiga atau keempat Syawal‚” katanya yang telah berkhidmat selama 28 tahun sebagai pegawai penjara.

Meskipun tidak dapat pulang beraya, Fauziah berkata mereka yang bertugas di penjara masih dapat merasai suasana lebaran yang diraikan bersama banduan.

“Walaupun berada di sebalik tirai besi, namun mereka juga diberi peluang merasai suasana sambutan Aidilfitri sama seperti masyarakat di luar sana.

“Kebiasaannya pada pagi raya kita akan solat sunat Aidilfitri terlebih dahulu bersama-sama diikuti dengan menikmati juadah raya seperti lemang, ketupat, rendang dan lain-lain.

“Kesemua juadah disediakan oleh banduan sendiri secara gotong-royong. Selain itu, kita juga akan mainkan lagu-lagu raya supaya mereka dapat merasai suasana tersebut‚” ujarnya.

Memahami kesyahduan beraya tanpa keluarga di sisi, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata dia perlu lebih cekal untuk memastikan emosi pegawai-pegawainya serta banduan tidak terganggu.

“Drama air mata pada hari pertama lebaran itu adalah perkara biasa dalam kalangan pegawai yang perlu bertugas termasuklah juga banduan.

“Di penjara wanita ini, banduan yang masuk ada yang sedang mengandung, bawa anak kecil atau dalam dilema mungkin tidak diterima oleh ahli keluarga dan sebagainya, jadi mereka ini yang perlu saya beri perhatian lebih pada hari pertama Aidilfitri.

“Sebagai seorang kakak dan juga pegawai, saya akan panggil mereka untuk bercakap dan selami apa yang dirasai.

“Justeru itu, di dalam ini juga adalah sangat perlu untuk mewujudkan suasana Aidilfitri itu supaya ia sedikit sebanyak dapat mengubat rindu. Bagi anak-anak banduan juga kita galakkan mereka berpakaian serba baharu‚” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Fauziah berkata setiap tahun penjara akan membenarkan kesemua ahli keluarga penghuni untuk membuat perjumpaan khas pada hari raya ketiga dan keempat.

“Di sini saya mengambil kesempatan menyeru mereka yang mempunyai ahli keluarga di sini untuk meluangkan masa melawat dan memberi sokongan moral kerana ia sangat membantu mengurangkan tekanan.

“Banduan yang stres sangat sukar untuk ditangani kerana mereka tidak akan mendengar arahan, tak mahu makan dan sebagainya‚” ujar Fauziah.

Dalam pada itu, dia turut menitipkan pesanan buat para pegawai yang akan bertugas pada Syawal pertama untuk terus bersemangat meskipun hati terusik.

“Teruskan semangat untuk bertugas demi Jabatan Penjara walaupun raya itu sangat bermakna buat kita. Tahun hadapan mungkin rezeki kita pula untuk beraya bersama keluarga,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas