Berita

MAIWP salur RM17,000 kepada dua sekolah agama KAFA

FADZLI (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Penyelia KAFA Masjid Adam.
- Diterbit 5 September 2021 3:00 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menyalurkan bantuan kepada dua sekolah agama KAFA di sini menerusi Skim Bantuan Aktiviti Dakwah dan Kebajikan bernilai RM17,000.

Menurut Pengurus MAIWP Labuan, Fadzli Md Saad, bantuan itu disalurkan bertujuan membantu pihak KAFA menampung pembelian kelengkapan kelas tidak mencukupi.

Katanya, bantuan yang disalurkan itu menjadi persediaan dua KAFA itu sebelum sesi pembukaan sekolah akan datang.

“Kita mengharapkan bantuan-bantuan ini dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada seramai 148 pelajar apabila sesi persekolahan dibuka semula nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan itu kepada KAFA Perumahan LDA Sungai Bedaun dan KAFA Masjid Adam Kampung Lajau, pada Sabtu lalu.

Fadzli berkata, bantuan itu turut digunakan untuk pembelian peralatan kelengkapan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

Dalam perkembangan lain, Fadzli memaklumkan tahun ini pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada 5,860 pelajar asnaf di pulau ini menerusi Bantuan Am Persekolahan Baitulmal membabitkan sejumlah RM 5.7 juta.

“Ia melibatkan pelajar-pelajar di Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Sekolah Rendah Agama di Labuan,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas