Berita

Hari Kebangsaan, penduduk harus pelihara kehormonian negara – Bashir

MAJLIS Doa Untuk Malaysia Sempena Hari Kebangsaan 2021 di Masjid Jamek An Nur yang dihadiri petugas barisan hadapan, wakil ketua masyarakat, dan kariah
- Diterbit 5 September 2021 6:00 AM MYT

PENDUDUK di Pulau Labuan digesa untuk memelihara keharmonian dan kemenangan yang dikecapi bagi menzahirkan rasa kesyukuran  atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama 64 tahun,” kata Ahli Dewan Negara Senator Datuk  Bashir Alias .

Beliau berkata, sebagai umat Islam dan warganegara yang merdeka, rasa syukur itu perlu dizahirkan dengan memelihara keharmonian serta perpaduan rakyat majmuk berbilang kaum, bangsa, budaya, pegangan juga adat resam.

“Marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian supaya nikmat itu berkekalan,” katanya semasa merasmikan Majlis Doa Untuk Malaysia Sempena Hari Kebangsaan 2021 di Masjid Jamek An-Nur, pada Isnin.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 13 agensi petugas barisan hadapan di Labuan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan Mohd Ibrahim Mohd Ghani, Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan Md Fadzli Md Saad.

BASHIR (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Majlis Doa Untuk Malaysia di Masjid An-Nur pada Isnin.

Dalam pada itu, Bashir yang juga merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan menyeru umat Islam untuk mengisi kemerdekaan negara mengikut ajaran serta cara yang dianjurkan agama.

“Sebagai umat Islam yang beriman, isilah erti kemerdekaan ini dengan acuan Islam kerana Islam adalah agama yang memandu keseluruhan aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara seperti kenegaraan serta pemerintahan,”katanya lagi.

Bersesuaian dengan tema Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, Keprihatinan seluruh rakyat amat jelas kelihatan ketika ramai yang kehilangan ahli keluarga, terputus sumber pendapatan, hilang pekerjaan dan pelbagai dugaan lain yang perlu dilalui dengan penuh kesabaran.

“Sifat prihatin perlu terus disemarakkan dalam kehidupan masyarakat agar setiap orang sentiasa cakna terhadap keselamatan antara satu sama lain sekali gus memulihkan semula negara daripada serangan COVID-19,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas