Berita

1,625 petani terima pelbagai insentif

BASHIR (lima dari kiri) di iringi RITHUAN (empat dari kanan), JURIJH (tiga dari kiri) bersama dengan penerima (petani) yang telah menerima insentif daripada Jabatan Pertanian Labuan pada Majlis Penyerahan baru-baru ini.
- Diterbit 5 September 2021 2:30 AM MYT

SERAMAI 1,625 golongan petani di sini menerima pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan menerusi Jabatan Pertanian Labuan bagi merancakkan industri pertanian.

Pengarah Jabatan Pertanian Labuan, Mohd Jurijh Abdullah Fauzi berkata, lebih sejuta ringgit telah disediakan oleh kerajaan dalam bentuk insentif 2021 bagi mengurangkan kebergantungan hasil import luar.

“Pelbagai insentif disediakan antaranya Insentif Pembangunan Tanaman Buah Jangka Panjang, Pembangunan Tanaman Jangka Pendek, Pembangunan Komuniti, Agro Food Park, Sayuran, Pembangunan Industri Cendawan, Projek Pertanian Organik, Program Kebuniti dan Pengukuhan myGAP.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Insentif dan Promosi Buah-Buahan Tempatan di Jabatan Pertanian Labuan, di sini pada Ahad lalu.

Tambahnya, pada tahun lalu sebanyak 563 metrik tan buah-buahan dikeluarkan yang melibatkan pelbagai jenis tanaman termasuk durian, manggis, rambutan dan sebagainya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias dalam ucapannya berkata, insentif yang disediakan oleh kerajaan itu membantu para petani agar meningkatkan lagi hasil pendapatan mereka.

Beliau berkata dengan insentif itu bukan sahaja meyuntik semangat para petani agar lebih berkeyakinan malahan ia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga Labuan.

“Insentif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan menyantuni warga Labuan agar bergerak seiring dengan pembangunan di negeri lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas