LPPKN, KafeTEEN bantu pengurusan kebersihan diri remaja

LPPKN, KafeTEEN bantu pengurusan kebersihan diri remaja

REMAJA adalah masa peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa.

Ketika ini remaja secara sedar atau tidak akan mengalami perubahan dari segi bentuk tubuh badan dan emosi.

Perubahan-perubahan yang berlaku ke atas remaja ini perlu dibimbing oleh ibu bapa atau keluarga

Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah pengurusan kebersihan diri terutamanya dalam menghalang dari sebarang penyakit.

Atas keprihatinan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui Sahabat KafeTEEN Prihatin sebuah NGO Remaja berdaftar secara pro-aktif sedia membantu remaja perempuan dan wanita untuk mengatasi masalah pengurusan kebersihan diri terutama di penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR), di Kuala Lumpur.

Hasil kajian UNICEF pada Mei 2021, mendapati kebanyakan keluarga yang tinggal di kawasan PPR mengurangkan lebih 10 peratus perbelanjaan isi rumah dari segi makanan dan juga barangan kebersihan diri dalam keluarga berbanding sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Justeru, pemberian bantuan berupa set asas kebersihan diri termasuk tuala wanita kepada 350 remaja perempuan dan wanita berumur 13 -24 tahun dalam kalangan B40 di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah bertepatan bagi mengatasi masalah pengurusan kebersihan diri ini.

Menurut Pengerusi LPPKN, Datuk Mohd Nizar Haji Zakaria, pelancaran Projek Rintis Sahabat Kafeteen Prihatin #HygieneKit ini bertujuan membantu golongan remaja perempuan yang memerlukan bantuan asas kebersihan diri akibat desakan pandemik COVID-19.

Ia juga diharapkan dapat membantu mereka dalam mengembalikan kesihatan fizikal dan mental, sekaligus membolehkan golongan ini mendapatkan maklumat kebersihan diri.

“Di peringkat LPPKN, kami sentiasa menjaga masyarakat atau pun keluarga, apatah lagi dalam situasi pandemik ini.

“Biasanya kami menyalurkan keperluan bakul atau kotak makanan yang disediakan oleh kerajaan dan NGO.  Namun kali ini kami melihat ada keperluan-keperluan tertentu khususnya anak-anak yang meningkat remaja diberikan perhatian dalam penjagaan kebersihan.

“Mereka sedang melalui proses pertumbuhan fizikal dan perkembangan minda. Jadi, aspek kesihatan perlu diberikan keutamaan khususnya remaja perempuan.

“Disebabkan inilah kami melancarkan #HygieneKit iaitu set asas kebersihan diri,” katanya kepada WILAYAHKU sejurus selepas sidang media program tersebut di bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

PENGERUSI LPPKN, Datuk Mohd Nizar Haji Zakaria, merasmikan pelancaran Projek Rintis Sahabat Kafeteen Prihatin yang membantu remaja menguruskan kebersihan diri.

Mohd Nizar berkata, kemudahan KafeTEEN juga memainkan peranan besar dalam mendidik remaja yang melalui alam peralihan ini.

“Dalam masa yang sama kami ada KafeTEEN yang memudahkan kami mengetahui permasalahan atau perkara-perkara yang lebih sensitif dalam kalangan remaja.

“Kadang-kadang anak kita ni segan dalam sesuatu perkara. Jadi mereka malu untuk beritahu ibu bapa mereka,” ujarnya yang berharap Pusat Remaja KafeTEEN terus memainkan peranan membantu remaja melalui kehidupan dengan selesa dan tanpa ragu-ragu.

ANTARA penerima #HygieneKit atau set asas kebersihan diri

Selain itu, setiap penerima #HygieneKit ini akan ditawarkan mengikuti kelas berkaitan kesihatan wanita dan reproduktif secara dalam talian yang dikendalikan oleh pasukan KafeTEEN LPPKN WPKL, pihak Kao (Malaysia) Sdn. Bhd. selaku penyumbang tuala wanita dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Setiap penerima remaja juga akan didaftarkan sebagai ahli baru Sahabat KafeTEEN bagi mendapat pengetahuan dan bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.

LPPKN berharap pemberian set asas kebersihan atau #HygieneKit dapat membantu remaja melalui kehidupan seharian dengan selesa.

Sebagai rekod, Malaysia belum memiliki statistik kadar kemiskinan haid kalangan remaja dan wanita secara tepat dan terperinci.

Oleh itu, inisiatif yang dijalankan diharap menjadi permulaan kepada usaha pengumpulan data yang lebih meluas bagi isu remaja dan wanita seterusnya mengelakkan ada kumpulan sasar yang ketinggalan.

Majlis pelancaran Projek Rintis Sahabat KafeTEEN Prihatin #HygieneKit turut dihadiri oleh Tuan Haji Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Dr. Zuhrah Tan Sri Musa, Pengarah Negeri LPPKN WPKL, wakil JAWI, Kao (Malaysia) Sdn. Bhd, Kelab Sahabat Kafeteen Malaysia dan Family of Charity. – WILAYAHKU

 

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )