Berita

DBKL rancang tambah lima pusat agihan makanan untuk gelandangan

JALALUDDIN ketika sesi bersama 24 NGO yang terlibat dengan agihan makanan untuk gelandangan hari ini.
- Diterbit 5 Oktober 2021 11:31 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang merancang untuk menambah lima pusat agihan makanan kepada gelandangan dalam waktu terdekat.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya sedang telah mengenalpasti lokaliti di sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan kawasan tumpuan individu tertentu atau kumpulan yang tidak berdaftar dan terlibat dalam aktiviti agihan makanan kepada golongan tersebut.

“Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan DBKL sentiasa mematuhi tempat dan jadual pengagihan makanan kepada gelandangan yang telah ditetapkan.

“Namun ada segelintir pihak atau individu tertentu lain yang mempunyai niat baik untuk edar makanan kepada gelandangan, tapi kaedah itu tidak sistematik yang sebenarnya mengundang kesan negatif sekiranya tidak ditangani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama 24 NGO yang berdaftar dan terlibat dengan agihan makanan di Menara DBKL disini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Anwar Md Zain dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL), Che Shamsuzuki Che Noh.

Ketika ini, terdapat tiga pusat agihan makanan selian DBKL iaitu Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

Jalaluddin berkata, langkah untuk memperkenalkan lima pusat agihan itu diambil bagi mengelakkan berlaku lambakan makanan sehingga menjadi sisa sampah yang boleh mengotorkan imej bandaraya Kuala Lumpur.

“Pusat itu nanti akan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.

“Selain itu, pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk agihan makanan termasuklah menggunakan konsep trak makanan atau gerai yang membolehkan sesiapa sahaja yang mahu mengagihkan makanan dikumpulkan di suatu tempat dan mengikut jadual khusus selain dipantau oleh pihak penguatkuasa DBKL dari semasa ke semasa,” katanya.

Ketika ini, terdapat tiga pusat agihan makanan selian DBKL iaitu Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas