Berita

KWP bangunkan semula dua tapak Perumahan Awam

INISIATIF pembangunan semula yang dilaksanakan oleh KWP telah membantu meningkatkan nilai pegangan hartanah golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur. INISIATIF pembangunan semula yang dilaksanakan oleh KWP telah membantu meningkatkan nilai pegangan hartanah golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.
- Diterbit 6 Oktober 2021 8:01 AM MYT

KESINAMBUNGAN kepada inisiatif pembangunan semula bandaraya Kuala Lumpur yang telah dipekernalkan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mengenal pasti dua tapak Perumahan Awam (PA) yang akan dibangunkan semula.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata PA Seri Pahang dan PA Seri Perlis 1 telah dipilih bagi projek tersebut.

“PA Seri Pahang yang kini telah memulakan kerja-kerja pembinaan di tapak dengan pembinaan 1017 unit baharu dengan saiz kediaman berkeluasan 800 kaki persegi (kps).

“Manakala PA Seri Perlis 1 pula telah memperolehi kelulusan Perintah Pembangunan (DO) untuk pembangunan semula 80 unit rumah baharu berkeluasan 880kps,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi jawapan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Nuridah Mohd Salleh berkenaan rancangan Kerajaan untuk menebus guna tapak Perumahan Awam untuk membangunkan perumahan bertingkat baharu yang lebih “habitable“.

Jalaluddin berkata melalui inisiatif tersebut, kerajaan telah berjaya membangunkan PA Razak Mansion yang telah siap sepenuhnya pada Januari 2017.

“Melalui inisiatif pembangunan semula ini, Kerajaan telah berjaya membangunkan semula PA Razak Mansion (dibangunkan oleh swasta) di mana ia melibatkan 658 unit kediaman empat tingkat berkeluasan 339kps dan 504kps kini telah dinaik taraf kepada 21 tingkat dengan keluasan 800kps seunit berserta fasiliti yang lebih
lengkap dan moden.

“Projek ini siap sepenuhnya pada Januari 2017 dan kira-kira 658 pemilik unit telah selesai dipindahkan ke kediaman baru pada Mac 2017,” katanya.

Jelasnya, pemilik rumah di PA Razak Mansion ini, mendapat rumah gantian secara percuma, manakala penyewa ditawarkan untuk membeli rumah baharu ini dengan harga RM42,000 dan konsep yang sama akan digunakan dalam projek yang melibatkan PA Seri Pahang. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas