Berita

Lima buah rumah setinggan serta sebuah motosikal musnah dalam kebakaran

- Diterbit 11 Mei 2021 12:34 AM MYT

LIMA buah rumah setinggan serta sebuah motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Tembak, Teluk Intan kira-kira 90 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada 9.47 malam sebelum 53 anggota BBP Teluk Intan dengan bantuan BBP Hutan Melintang serta Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan dikerahkan ke lokasi berkenaan.

“Kebakaran itu membabitkan tiga rumah musnah kira-kira 90 peratus manakala dua rumah lagi hanya melibatkan kemusnahan 15 dan 18 peratus sahaja dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC turut musnah sebanyak 90 peratus.

“Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Ismail berkata pihaknya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk kerja-kerja pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya  pada 12.30 tengah malam.– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas