Berita

Wanita 30 tahun ditahan palsu dokumen rentas negeri

DOKUMEN yang dipalsukan suspek. DOKUMEN yang dipalsukan suspek.
- Diterbit 11 Mei 2021 4:12 AM MYT

PADAH menggunakan alasan ibu kandung sakit kritikal, seorang wanita berusia 30 tahun ditahan dan dituduh di Mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek hadir ke Balai Polis Pantai Kuala Lumpur pada pukul 3.40 petang untuk membuat permohonan rentas sempadan negeri ke Terengganu.

Ujar beliau, suspek menyerahkan dokumen hospital, namun selepas semakan dan pengesahan dibuat dengan pihak hospital, didapati dokumen berkenaan palsu.

“Suspek kemudian mengaku telah memalsukan dokumen Jabatan Kecemasan dan Trauma sebuah hospital di Kuala Terengganu dengan mencipta sendiri dokumen tersebut di rumah kakaknya di kawasan Petaling Jaya pada 9 Mei pukul 8.30 malam.

“Suspek memuat turun borang Permit Pergerakan Rentas Negeri dari internet dan menggunakan cop rasmi Pegawai Perubatan hospital tanpa pengetahuan dan keizinan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anuar memaklumkan, suspek mengaku membuat dokumen palsu berkenaan setelah permohonan rentas sempadan yang dibuat di Balai Polis Seapark pada 9 April lalu, ditolak.

Justeru, ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

Tambah beliau, orang awam dinasihatkan untuk mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak menyalahgunakan permit merentas negeri atas tujuan lain yang bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas