Berita

Liga Malaysia masih dilarang beraksi lepas PKP

MKN tolak permohonan FAM sambung perlawanan kerana libatkan perhimpunan
- Diterbit 25 April 2020 7:36 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan menolak permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi meneruskan semula saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ini susulan asas prosedur standard operasi (SOP) tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpulan.

“Bola tidak boleh main seorang-seorang dan mesti ada team (pasukan).

“Kalau dua team sudah ada 22 orang di atas padang. Bola tidak seperti badminton kerana mungkin berlaku kontak secara fizikal.

“Jadi, berdasarkan SOP standard sudah tentu kita tidak boleh membenarkan pertandingan bola diadakan walaupun selepas PKP,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas permohonan rasmi FAM kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyambung semula saingan Liga M yang tertangguh akibat PKP sejak 18 Mac lalu.

Difahamkan FAM mencadangkan SOP bahawa setiap pemain dan pegawai wajib menjalani ujian saringan kesihatan sebelum perlawanan bermula.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, meskipun PKP telah ditamatkan terdapat beberapa SOP yang perlu dipatuhi rakyat keseluruhannya.

“Saya sebelum ini sudah sebutkan walaupun PKP ditamatkan hari ini, esok bukan bermakna rakyat bergerak bebas seperti hari-hari sebelum ini.

“Tentu sahaja ada SOP lain akan kita perkenalkan dan dipatuhi dan perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan yang merupakan perkara yang masih dikekalkan walaupun PKP ditamatkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas